Anifah Nafi Terima Dana Akaun Peribadi Najib

Diterbitkan: Rabu, 19 Ogos 2015 6:00 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman menolak dakwaan kononnya beliau menerima sebahagian daripada wang derma politik bernilai RM2.6 bilion yang dideposit ke akaun peribadi Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Lim Kit Siang (Ketua Parlimen DAP) mempersoalkan jika saya telah menerima wang dari akaun peribadi Perdana Menteri berhubung dengan laporan mengenai 1MDB.

"Saya tidak terima apa-apa dana dari akaun peribadi Perdana Menteri," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Selain itu, ahli politik dari Sabah itu memberi amaran kepada veteran DAP berkenaan supaya berhenti daripada membuat tuduhan tidak berasas terhadapnya.

"Saya menggesa Lim untuk menghentikan sebarang tuduhan salah laku terhadap saya tanpa bukti.

"Saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang sewajarnya jika terus menuduh saya tanpa sebarang bukti," katanya.

Kit Siang sebelum ini dilaporkan menamakan lapan menteri termasuk Anifah serta dua timbalan menteri menerima sebahagian daripada dana RM2.6 bilion yang didepositkan ke akaun Najib.

Baki anggota Kabinet yang disebut Lim ialah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said; Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Selain itu, dua timbalan menteri yang dikaitkan ialah Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Tajuddin Abdul Rahman dan Timbalan Menteri, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim.

Tags / Kata Kunci: Anifah Aman , Lim Kit Siang

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan