Azalina Saran Deklarasi Taat Setia BN

Diterbitkan: Isnin, 17 Ogos 2015 6:14 PM

Azalina Othman Said

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Selepas tersebarnya tuduhan berhubung usaha untuk menggulingkan kerajaan, Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) disaran membuat deklarasi secara terbuka bagi menyatakan sokongan dan taat setia kepada kepimpinan parti dan negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, deklarasi terbuka itu penting bagi menamatkan spekulasi berhubung tuduhan berkenaan.

"Semua Ahli Parlimen BN boleh membuat deklarasi terbuka menunjukkan kesetiaan mereka kepada parti untuk meletakkan tanda noktah terhadap semua spekulasi dan masalah berbangkit ini.

"Saya berharap jawatankuasa disiplin parti-parti komponen BN akan menyiasat perkara ini secara terperinci dengan segara. Sekiranya benar dakwaan tersebut, tindakan keras mesti diambil kerana kita tidak boleh berkompromi dalam soal sabotaj dan derhaka yang bertentangan dengan prinsip demokrasi negara," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Ahad mendedahkan mengenai tindakan seorang tokoh Umno menjadi dalang utama mengatur gerakan menggulingkan kerajaan melalui cara undi tidak percaya di Parlimen dengan sokongan wakil rakyat pembangkang.

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini turut dikaitkan dengan komplot untuk menjatuhkan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, namun dinafikan Ahmad Zahid yang juga Timbalan Presiden Umno.

Mengulas lanjut, Azalina yang juga menteri bertanggungjawab mengenai hal ehwal Parlimen mencadangkan supaya kerajaan menggubal undang-undang anti lompat parti.

"Perkara ini bukan hanya soal kesetiaan kepada parti dan integriti dalam politik tetapi adalah pengkhianatan terhadap mandat rakyat yang kita tidak boleh bertolak ansur sama sekali.

"Ini termasuk melakukan pindaan tertentu kepada kebebasan berpersatuan yang termaktub dalam Perkara 10, Perlembagaan Persekutuan supaya tiada percanggahan dengan undang-undang baharu ini nanti," katanya.

Tags / Kata Kunci: Azalina Othman Said , BN

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan