Kumpulan Pertama 450 Jemaah Haji Malaysia Berlepas Ke Tanah Suci

Diterbitkan: Ahad, 16 Ogos 2015 10:58 AM

Jemaah haji mengaminkan doa sebelum memulakan perjalanan ke Tanah Suci. Gambar Hiasan.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Kumpulan pertama 450 jemaah haji Malaysia berlepas ke tanah suci pagi ini dengan pesawat milik Arab Saudi.

Majlis penghantaran mereka di Kompleks Tabung Haji (TH) Kelana Jaya di sini, disempurnakan Pengerusi TH Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Menurut Pengurus Besar Kanan (Haji) merangkap Ketua Rombongan Haji 1436 Hijrah Datuk Syed Saleh Abdul Rahman, pesawat SV5701 yang membawa jemaah dijangka tiba di Madinah pada 9 pagi waktu Arab Saudi.

Perjalanan ke Madinah dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL mengambil masa 8 jam.

Kumpulan pertama itu merupakan sebahagian daripada kira-kira 1,000 bakal haji Malaysia yang dijadual berlepas ke tanah suci hari ini.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Abdul Azeez berkata yakin kerajaan Arab Saudi telah mengambil langkah keselamatan bagi memastikan musim haji kali ini berjalan lancar, susulan pergolakan di sebuah negara jiran.

"Kita (TH) juga telah mengambil inisiatif tertentu dan menghantar petugas yang mempunyai latar belakang keselamatan untuk menjaga jemaah kita," katanya.

Abdul Azeez juga berkata jaminan telah diberi oleh Arab Saudi bahawa  bahawa pergolakan itu tidak akan menjejaskan jemaah di Makkah dan Madinah.

Jemaah haji Malaysia yang kesemuanya berjumlah 22,320 orang tahun ini akan bertolak secara berperingkat ke tanah suci dengan penerbangan terakhir pada 16 September manakala perjalanan pulang bermula 29 September hingga 27 Oktober.

Sejumlah 64 penerbangan merangkumi 39 pesawat Malaysia Airlines dan 25 pesawat milik Arab Saudi dari tujuh lapangan terbang di seluruh negara, disediakan.

Sementara itu, sepasang suami isteri warga emas dari Teluk Emas, Melaka berasa gembira dan bersyukur menjadi tetamu Allah buat pertama kali selepas lapan tahun menunggu.

Abu Bakar Yahya, 60, dan Fatimah Saat, 67, berkata wang pemberian dari tujuh anak mereka setiap bulan disimpan bagi membolehkan mereka menunaikan impian setiap umat Islam itu.

"Alhamdulillah kami berpeluang menjejakkan kaki ke tanah suci...mudah-mudahan haji kami mabrur dan diterima Allah S.W.T," kata Abu Bakar yang juga pesara tentera dan datuk kepada 16 cucu.

Bagi Siti Nur Athirah Sazali, 17, beliau menggangap jemputan menunaikan haji pada usia muda merupakan rezeki dan peluang yang tidak akan disia-siakan.

Menunaikan ibadah itu bersama bapa, Sazali Samawi, 52, dan ibu Saodah Mohd Taib, 53, remaja itu berkata beliau teruja untuk berbuat demikian walaupun terpaksa melepaskan peluang untuk menduduki ujian percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula 25 Ogos ini.

"Bagaimanapun, saya masih ada masa mengulang kaji pelajaran untuk  peperiksaan sebenar sebaik pulang ke tanah air. Saya akan memohon kepada Allah agar permudahkan urusan saya untuk peperiksaan itu kelak," kata pelajar Sekolah Taman Jasmin 2, Kajang itu.

Bagi Sazali, beliau terkejut namun bersyukur diberi peluang menunaikan haji pada tahun ini.

"Saya memang tidak duga langsung dapat pergi tahun ini. Yang terdahulu mendaftar adalah anak dan isteri saya. Oleh kerana anak saya perlukan mahram, jadi saya dibenar mengikut mereka untuk menunaikan haji," katanya.-- Bernama


Tags / Kata Kunci: jemaah haji , TH , Abdul Azeez Abdul Rahim

iklan

Video

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Kolumnis

iklan

Iklan