Umno Perlu Dengar Suara Akar Umbi - Shafie Apdal

Diterbitkan: Jumaat, 14 Ogos 2015 9:03 PM

Shafie Apdal.

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Pendapat dan pandangan yang disuarakan dalam mesyuarat perwakilan sayap Pemuda, Wanita dan Puteri Umno yang sedang berlangsung perlu diberikan perhatian sepenuhnya oleh barisan kepimpinan, kata naib presiden parti, Datuk Seri Shafie Apdal.

Shafie yang merupakan Ketua Umno Bahagian Semporna berkata, perwakilan Pemuda dan Wanita menyuarakan perasaan akar umbi parti dan perkara itu tidak boleh diabaikan.

"Kita tidak boleh mengabaikan apa yang perwakilan suarakan kerana ia juga akan mengabaikan perasaan rakyat," katanya.

Shafie berkata, Umno hanya kekal relevan sekiranya ia dapat menangani isu-isu semasa secara efektif dan mendengar kebimbangan rakyat serta membuktikan parti sensitif terhadap keperluan mereka.

Kenyataan Shafie tersebut susulan perwakilan Pemuda Umno mengusulkan tiga resolusi dalam mesyuarat yang diadakan sayap parti itu pada Jumaat.

Tiga resolusi yang diluluskan itu ialah pemilihan parti perlu diteruskan seperti yang dijadualkan tahun depan, siasatan terhadap 1Malaysia Development Bhd (1MDB) perlu dijalankan secara telus dan meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bercuti.

Mesyuarat Umno Bahagian Semporna akan diadakan pada Sabtu dan dijadualkan dirasmikan oleh timbalan presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tags / Kata Kunci: Shafie Apdal , Umno

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan