Malam Gala Festival Topeng Antarabangsa 2015 Meriah

Diterbitkan: Jumaat, 14 Ogos 2015 12:42 PM

Aneka topeng pelbagai bentuk dan warna dipersembahankan di Festival Topeng Antarabangsa Malaysia anjuran Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan KPK melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) di Esplanade KLCC di sini malam ini. Festival tersebut berlangsung dari 13 sehingga 16 Ogos ini.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Topeng unik pelbagai bentuk, kostum berwarna-warni sarat dengan aksesori menjadi antara tarikan utama pengunjung pada malam gala Festival Topeng Antarabangsa Malaysia 2015 di Esplanade, KLCC, Khamis malam.

Festival yang julung kali diadakan itu melibatkan seramai 379 peserta dari lapan negara iaitu Malaysia, Korea Selatan, China, Thailand, Filipina, Rusia, Indonesia dan Sri Lanka.

Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, festival bertemakan 'Menyelusuri masa... Setiap wajah ada cerita' itu bermaksud setiap topeng yang digunakan mempunyai nilai identiti dan fungsi tersendiri mengikut budaya masyarakat tertentu.

"Festival ini dapat mempamerkan kepada masyarakat tentang kekayaan seni budaya dan tradisi etnik, contohnya di negara kita terdapat seni bertopeng daripada etnik Orang Asli Mah Meri di Pulau Carey, Selangor," katanya kepada pemberita selepas melancarkan festival itu.

Turut hadir Ketua Setiausaha kementerian Tan Sri Dr Ong Hong Peng, Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) kementerian Datuk Ab. Ghaffar A. Tambi dan Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Datuk Norliza Rofli.
Kumpulan Teo Chew PUPPTN Opera dari Pulau Pinang mewakili Malaysia membuat persembahan di malam gala Festival Topeng Antarabangsa Malaysia di Esplanade KLCC .

 

Acara malam gala itu diserikan dengan pertunjukan pengenalan oleh setiap negara menerusi persembahan tarian bertenaga yang mempamerkan identiti sosio budaya kaum atau etnik masing-masing menerusi reka bentuk topeng, kostum, prop dan aksesori hiasan.

Antara jenis tarian menarik yang dipersembahkan kepada pengunjung tempatan dan luar negara di sini ialah tarian 'ballroom' (Rusia), opera (China), tarian singa (Korea Selatan) dan lain-lain lagi.

Berlangsung mulai Rabu lalu sehingga Ahad ini, festival topeng ini juga menyediakan program menarik seperti perarakan topeng pada hari ini serta persembahan penuh oleh peserta-peserta pada Sabtu dan Ahad. -- Bernama

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan