Tindakan Keluar Parti Proses Pembersihan PAS - Abdul Hadi - Berita Semasa | mStar

Tindakan Keluar Parti Proses Pembersihan PAS - Abdul Hadi

Diterbitkan: Khamis, 13 Ogos 2015 6:04 PM

Abdul Hadi Awang.

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan tindakan beberapa kumpulan kecil anggota parti di seluruh negara yang mengumumkan keluar daripada PAS adalah sebagai satu proses pembersihan parti.

Beliau menegaskan tidak risau dengan perkembangan itu kerana ia adalah sesuatu yang baik untuk parti malah menegaskan PAS menerima lebih banyak permohonan untuk menyertai parti berkenaan.

"Itu (tindakan keluar parti) adalah pembersihan parti yang berlaku dengan sendiri, bila berlaku banjir ... bah, pasir pun berubah.

"Kita tak risau, tak risau ... gembira, gembira ... keahlian kita kini meningkat, dalam masa sebulan yang lalu, kita telah menerima 4,000 ahli baru yang didaftarkan dan masih ada 2,000 hingga 3,000 yang memohon keahlian tapi belum diproses," katanya kepada pemberita pada majlis sambutan Aidilfitri Badan Perhubungan PAS Terengganu di sini, Khamis.

Turut hadir Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Nik Mohd Zawawi Salleh dan  Pesuruhjaya PAS Terengganu, Satiful Bahri Mamat.

Sebelum ini, beberapa kumpulan anggota PAS peringkat negeri dan cawangan mengambil keputusan meninggalkan parti itu termasuklah Ketua Pemuda PAS kawasan Shah Alam, Helmi Radzuan dan 12 anggota jawatankuasanya yang meletakkan jawatan kerana mendakwa parti itu semakin "eksklusif".

Turut melakukan perkara yang sama ialah 12 anggota PAS cawangan Jelebu, Negeri Sembilan yang mengisytiharkan keluar parti kerana kecewa dengan keputusan pemilihan parti pada Muktamar ke-61 di Kuala Selangor baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, Abdul Hadi berkata, PAS tidak akan membuat penyertaan langsung dalam Himpunan Bersih 4.0 dijadual 29 Ogos ini sebaliknya hanya menghantar dua wakil iaitu Naib Presiden PAS, Idris Ahmad dan Timbalan Pesuruhjaya 1 Wilayah, Kamaruzaman Mohamad kerana akan menganjurkan majlis sendiri pada masa akan datang.

Bagaimanapun PAS tidak menghalang mana-mana anggota parti yang mahu menyertai himpunan tersebut dan tiada galakan untuk menyertainya memandangkan PAS bukanlah penganjur bersama seperti pada himpunan Bersih yang diadakan sebelum ini, katanya. - Bernama

Tags / Kata Kunci: Abdul Hadi Awang , PAS
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan