Spekulasi Politik Keterlaluan Antara Faktor Ringgit Jatuh - Najib

Diterbitkan: Khamis, 13 Ogos 2015 10:10 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Spekulasi politik yang keterlaluan merupakan antara faktor kejatuhan mata wang Ringgit berbanding dolar Amerika, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri dalam kenyataannya di blog najibrazak.com pada Khamis berkata, spekulasi tersebut menyebabkan sentimen yang tidak menentu terhadap pentadbiran negara.

"Adanya mainan dan spekulasi politik yang keterlaluan menyebabkan sentimen yang tidak menentu terhadap pentadbiran negara," katanya.

Kenyataan Najib menerusi blog najibrazak.com mengenai nilai Ringgit berbanding Dolar Amerika.

Najib berkata, antara faktor lain ialah tindakan kerajaan China menurunkan mata wang Yuan sekali gus menyebabkan kejatuhan mata wang negara Asean lain.

"Penurunan harga komoditi seperti minyak, minyak sawit dan getah secara mendadak juga telah menyebabkan kejatuhan Ringgit, lebih-lebih lagi kerana Malaysia adalah pengeluar komoditi-komoditi tersebut.

"Jangkaan bahawa Amerika Syarikat akan menaikkan kadar faedah membuatkan ramai pelabur di serata dunia memindahkan dana mereka ke dalam mata wang Amerika," kata Najib.

Perdana Menteri berkata, walaupun berdepan faktor luaran dan cabaran dalaman termasuk gambaran negatif oleh pihak tertentu terhadap ekonomi negara, laporan terkini oleh Bank Negara Malaysia (BNM) menunjukkan bahawa pertumbuhan ekonomi tetap berada pada landasan yang stabil.

Ini katanya, kadar pertumbuhan mencatatkan sebanyak 4.9 peratus pada suku kedua 2015.

"Saya memberi jaminan bahawa kerajaan akan cuba sedaya-upaya untuk menangani keadaan ini dengan tujuan untuk menstabilkan keadaan ekonomi negara," katanya.

Tags / Kata Kunci: Najib Tun Razak

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan