KDNK 4.9 Peratus Beri Gambaran Sebenar Ekonomi Negara - PM

Diterbitkan: Khamis, 13 Ogos 2015 9:54 PM

Najib Tun Razak.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang stabil dan sederhana sebanyak 4.9 peratus pada suku kedua 2015 membuktikan keadaan ekonomi negara adalah baik, tidak seperti digambarkan. 

"Di kala segelintir pihak yang melakar gambaran negatif bagi keadaan ekonomi negara, laporan daripada Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini memberikan situasi sebenar," kata Perdana Menteri dalam posting terkini di laman Facebooknya.

Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan berkata, perbandingan pertumbuhan ekonomi negara perlu dibuat dengan negara-negara lain di Asia dan negara-negara maju pada suku tahun yang sama.

Negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom menjangkakan pertumbuhan yang perlahan pada suku kedua tahun ini iaitu masing-masing kepada 2.3 peratus dan 2.6 peratus berbanding pertumbuhan 2.9 peratus kedua-duanya pada suku pertama.

Bagi China dan Indonesia pula, pertumbuhan bagi suku kedua kekal berbanding suku pertama iaitu masing-masing pada 7.0 peratus dan 4.7 peratus.

Sementara itu, Chinese Taipei menyasarkan pertumbuhan 0.6 peratus pada suku kedua berbanding 3.4 peratus suku sebelumnya dan Singapura 1.8 peratus daripada 2.8 peratus pada suku pertama. 

BNM pada Khamis mengumumkan ekonomi negara tumbuh sederhana berbanding 5.6 peratus pada suku pertama, dipacu sebahagian besarnya oleh permintaan swasta.

Malaysia kini setara dengan ekonomi global, yang turut menyaksikan pertumbuhan pada kadar sederhana, kata Gabenor bank pusat itu, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

"Ekonomi dunia tumbuh pada tahap sederhana pada suku kedua. Permintaan domestik terus menyokong pertumbuhan dalam persekitaran eksport yang lemah," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan