Diterbitkan: Selasa, 11 Ogos 2015 5:29 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Semua syarikat penerbangan yang  beroperasi di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) perlu berpindah ke Terminal 1 lapangan terbang itu dalam masa terdekat bagi menampung lebih ramai penumpang dari dalam serta luar negara.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi menegaskan, semua syarikat penerbangan termasuk Air Asia Bhd yang mahu kekal beroperasi di Terminal 2, telah diarah berpindah ke Terminal 1 pada 1 Ogos lepas.

"Ini arahan kerajaan...semua syarikat penerbangan termasuk Air Asia perlu berpindah ke Terminal 1 selepas ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Hari Raya dan Sambutan 130 Tahun Keretapi Tanah Melayu (KTM) Berhad di sini, pada Selasa. Hadir sama, Presiden KTMB, Lt Kol (B) Sarbini Tijan.

Pada Isnin, Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) mahu semua operasi syarikat penerbangan di KKIA diletakkan di bawah satu bumbung demi keselesaan penumpang  serta kecekapan operasi.

Pada Julai lepas, AirAsia Bhd memutuskan untuk kekal beroperasi di Terminal 2 walaupun telah mendapat arahan berpindah ke Terminal 1 pada 1 Ogos lepas.

AirAsia memberi alasan pemindahan itu akan memberi kesan kepada operasi perniagaan dan peningkatan caj perkhidmatan penumpang daripada RM32 kepada RM65 seorang yang dikenakan terhadap penumpang antarabangsa, ketika ini.

Sementara itu, Sarbini berkata pihaknya akan memperkenalkan perkhidmatan kereta api baharu Ekspress Langkawi yang akan dimulakan dari Johor Baharu Sentral ke Hat Yai, Thailand pada 1 September ini.

"Sebelum ini perkhidmatan itu hanya tertumpu kepada KL-Hat Yai dan Hat Yai-KL, namun bermula 1 September ini, ia akan dilanjutkan ke Johor Baharu Sentral.

"Penumpang-penumpang dari Batam, Indonesia serta Johor boleh ke Selatan Thailand dan sebaliknya dengan menggunakan perkhidmatan itu," katanya.

Tags / Kata Kunci: MAHB , Kementerian Pengangkutan

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan