Ketua Pemuda PAS Shah Alam, 12 AJK Kawasan Letak Jawatan

Diterbitkan: Selasa, 11 Ogos 2015 11:27 PM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Ketua Pemuda PAS kawasan Shah Alam, Helmi Radzuan dan 12 anggota jawatankuasanya meletakkan jawatan kerana parti itu semakin 'eksklusif'.

Bekas naib ketua Pemuda PAS kawasan itu, Abbas Salimmi Adzmi berkata, kesemua mereka meletakkan jawatan secara sukarela sejak 14 Julai lepas hingga Isnin, dan kini menjadi anggota biasa parti itu.

Surat peletakan jawatan mereka telah diserahkan kepada Setiausaha Dewan Pemuda PAS Selangor untuk tindakan lanjut selain memaklumkan perkara itu kepada Yang Dipertua PAS Shah Alam, Azli Yusof dan Anggota Parlimen kawasan itu, Khalid Abdul Samad.

Sambil menyifatkan PAS seharusnya bergerak secara inklusif, Abbas Salimmi mendakwa pendekatan yang diambil kepimpinan baharu selepas muktamar parti itu pada Jun lepas menyukarkan kesefahaman serta gerak kerja jawatankuasa pada peringkat pusat dan negeri.

"Apabila berlaku pertukaran (peringkat pusat dan negeri), bagi kami di kawasan Shah Alam agak sukar untuk bergerak...bukan masalah pada program tetapi pembawaan Pemuda pusat dan negeri berlainan daripada sesi lepas," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Ketika ditanya sama ada peletakan jawatan itu ada kaitan dengan penubuhan Gerakan Harapan Baru (GHB), Abbas Salimmi berkata, beliau dan 12 rakannya tidak menolak kemungkinan gerakan itu sebagai wadah baharu untuk dipertimbangkan.

Dalam pada itu, Setiausaha PAS Selangor, Mohd Khairuddin Othman berkata, pihaknya menghormati keputusan 13 bekas AJK itu kerana perlembagaan parti membenarkan mereka bertindak sedemikian.

Sehubungan itu, Dewan Pemuda PAS Selangor akan diminta mengisi kekosongan yang ada mengikut ketetapan parti, katanya dalam kenyataan di sini.

"Itu hak mereka, kita tahu arah tuju mereka. Dengan sebab itu kita ucapkan syabas. Itu lebih baik dan lebih berani berbanding mereka yang lantang bersama GHB tetapi masih bersembunyi di sebalik jawatan PAS," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Khairuddin mengesahkan hanya dua Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada PAS Selangor yang menyertai GHB manakala 13 Adun yang lain mahu setia kepada pimpinan parti. - Bernama

Tags / Kata Kunci: PAS

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan