Tubuh Majlis Keselamatan Air Bendung Kes Lemas

Diterbitkan: Ahad, 9 Ogos 2015 8:39 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Penubuhan Majlis Keselamatan Air Negara menjadi satu keperluan terutama bagi membendung kejadian lemas yang mencatat sebanyak 700 kes setiap tahun.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata perkara berkenaan akan dibangkitkan pada mesyuarat pasca Kabinet akan datang.

"Kes lemas semakin meningkat dan saya bimbang.

"Sebab itu saya telah memulakan mesyuarat peringkat tertinggi antara kementerian dan NGO," katanya dalam satu temu bual.

Sementara itu Presiden Persatuan Perlindungan Pengguna Malaysia Pulau Pinang (PPPM), K Koris Atan berkata, selepas Majlis Keselamatan Air Negara ditubuhkan, rakyat Malaysia perlu mengubah sikap 'tidak apa' dalam masyarakat.

"Denda dan penalti lain yang dikenakan di bawah peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh majlis itu nanti akan mendorong pihak hotel untuk menyediakan penjaga pantai bertauliah, menara kawalan dan papan tanda keselamatan," katanya.

Tambah beliau, masyarakat luar bandar akan mendapat manfaat daripada program-program Majlis Keselamatan Air Negara yang dijalankan oleh badan-badan seperti pembangunan kampung dan jawatankuasa keselamatan.

"Tanpa kuasa undang-undang, rakyat Malaysia tidak peduli. Tapi nanti mereka tiada pilihan tetapi untuk bekerja bersama-sama dengan kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan," katanya.

Tegasnya lagi penguatkuasaan adalah elemen penting.

Bagi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, pelajar dan pekerja akan menjalani 'pendidikan intensif' di bawah inisiatif majlis itu nanti.

"Dengan peralatan keselamatan air diletakkan berhampiran semua kawasan air - berdasarkan peraturan majlis - orang ramai boleh memainkan peranan proaktif dalam menyelamatkan mangsa," katanya.

Sejak lima tahun lalu, Persatuan Penyelamat Nyawa dan NIOSH telah menggesa kerajaan menubuhkan majlis seumpama itu.

"Gesaan penubuhan majlis keselamatan air tercetus selepas berlakunya kejadian tujuh pendayung perahu naga di Pulau Pinang pada 2010," kata presiden masyarakat, Lim Chien Cheng.

Tags / Kata Kunci: Abdul Rahman Dahlan , Lemas

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan