SPRM Sambut Baik Tindakan Polis Tangguh Siasatan

Diterbitkan: Ahad, 9 Ogos 2015 2:47 PM

Mustafar Ali

Mustafar Ali

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyambut baik keputusan pihak polis menangguhkan sementara siasatan terhadap badan itu berhubung kes kebocoran maklumat yang disiar menerusi portal Sarawak Report.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Mustafar Ali berkata, keputusan itu dijangka membantu mengatasi suasana tidak senang yang wujud antara SPRM dan pihak polis.

"SPRM ingin jelaskan bahawa suruhanjaya ini komited untuk menjalankan tugas membanteras jenayah rasuah secara bebas, telus dan profesional.

"Melihat kepada suasana sekarang, SPRM meminta kepada semua pihak supaya tidak menyampai dan menyebar luas maklumat-maklumat yang tidak sahih serta andaian negatif yang boleh mengelirukan, malah boleh menimbulkan keresahan di kalangan rakyat," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Pada Sabtu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pihaknya menangguhkan sementara siasatan melibatkan SPRM.

Beliau berkata, walaupun lebih ramai lagi yang akan dipanggil bagi membantu siasatan, kes itu ditangguh untuk mengelak pelbagai andaian dan persepsi awam.

Sementera itu, kata Mustafar menjelaskan, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed selamat menjalani pembedahan di sebuah hospital di ibu negara pada Jumaat lalu.

Difahamkan Abu Kassim menjalani pembedahan kerana sakit belakang.

Menurut Mustafar, pembedahan berkenaan sudah lama dijadualkan atas nasihat pakar perubatan.

"Tan Sri Abu Kassim yang masih mendapatkan rawatan sedang beransur pulih.

"Pakar Perubatan menasihatkan agar beliau berehat secukupnya sebelum kembali bertugas," katanya yang menziarahi Abu Kassim pada Sabtu.

Pada Rabu lalu media melaporkan Abu Kassim mengambil cuti sakit sehingga minggu depan.

Sepanjang ketiadaannya, Mustafar akan memangku jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Tags / Kata Kunci: SPRM , Abu Kassim Mohamed , Mustafar Ali

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan