MH370: Waris Mangsa Sukar Terima Pengesahan Flaperon

Diterbitkan: Jumaat, 7 Ogos 2015 10:41 AM

Jacquita (kiri), isteri Patrick Gomes, dan Melanie Antonio (kanan), isteri Andrew Nari bercakap kepada wakil media di Kuala Lumpur pada 5 Ogos lalu.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Waris mangsa pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 masih dibelenggu persoalan yang tidak dijawab walaupun pihak berkuasa mengesahkan bahawa flaperon yang ditemui terdampar di Pulau La Reunion milik pesawat tersebut.

Calvin Sim, suami kepada anak kapal Tan Ser Kuin berkata, penemuan tersebut membawa siasatan satu langkah lebih dekat kepada kebenaran.

"Penemuan flaperon itu sendiri tidak boleh meyakinkan saya. Mungkin jika mereka menemui beberapa serpihan lagi dalam masa beberapa minggu ini, ia lebih meyakinkan.

"Malah jika ia hanya sehelai kain, saya bersyukur. Saya tahu kos mahal untuk terbang ke sana tetapi jika saya ada wang, saya akan pergi," katanya.

Elaine Chew, isteri kepada anak kapal Tan Size Hiang, berkata adalah sukar untuk memuktamadkan penamatan insiden ini kerana apa yang sebenarnya berlaku terhadap pesawat ini kekal misteri.

"Sukar untuk saya terima bahawa suami saya sudah tiada kerana penemuan sebuah flaperon," katanya.

Anak perempuan Chew enggan mempercayai bahawa bapanya tidak akan kembali.

"Apabila saya bercakap dengannya, dia yakin bapanya akan pulang," kata Chew.

Jacquita Gonzales, isteri kepada anak kapal, Patrick Gomes berkata perasaannya bercampur baur, takut, bimbang, sedih dan juga marah.

"Kami mengucapkan selamat tinggal apabila mereka (semua anak kapal) pergi ke tempat kerja, berfikir bahawa mereka akan pulang.

"Kita perlu apa jua bukti tidak kira dalam bentuk apa sekali pun. Sekurang-kurangnya kita boleh mengucapkan selamat tinggal kepada mereka dengan cara yang betul.

"Sebuah flaperon bukan suami saya. Saya perlu lebih daripada itu," katanya.

Maira Elizabeth, anak kepada ketua pramugara, Andrew Nari tidak tahu apa untuk dikatakan.

"Nampaknya semua waris tidak ada mood.  Kehendak Tuhan," katanya.

Ibunya, Melanie Antonio kelihatan murung.

"Ia masih belum cukup," katanya apabila dimaklumkan mengenai pengesahan flaperon itu.

Selamat Omar, bapa kepada Mohd Khairul Amri berkata walaupun pengumuman tersebut menjawab persoalan mengenai misteri kehilangan pesawat itu, terdapat beberapa persoalan lain yang perlu dijawab.

"Saya menerima takdir bahawa anak lelaki saya sudah tiada tetapi adakah saya berpuas hati? Tidak," katanya.


Tags / Kata Kunci: Mh370 , MAS , waris

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan