Akhil Bulat, Abdul Hamid Terima Anugerah Bintang Pahlawan Indonesia

Diterbitkan: Jumaat, 7 Ogos 2015 6:58 PM

(Ubah saiz teks)

JAKARTA: Bekas Pengarah Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Seri Akhil Bulat dan timbalannya Datuk Abdul Hamid Bador pada Jumaat dianugerahkan Bintang Bhayankara Nararya, iaitu bintang kepahlawanan tertinggi daripada kerajaan Republik Indonesia.

Mereka berdua adalah rakyat asing pertama menerima anugerah khas untuk anggota pasukan Polis Republik Indonesia (Polri) yang telah menunjukkan keberanian dan mempunyai pencapaian luar biasa dalam perkhidmatan.

Presiden Republik Indonesia Joko Widodo bersetuju untuk menganugerahkan bintang itu dan ia disampaikan Ketua Polis Republik Indonesia Badrodin Haiti yang mewakili Presiden dalam satu majlis penuh istiadat polis di Markas Besar Polri di sini.

Akhil dan Abdul Hamid menerima anugerah itu atas jasa pasukan Cawangan Khas PDRM yang membantu kerajaan dan pihak berkuasa Indonesia melumpuhkan kegiatan keganasan oleh kumpulan Jemaah Islamiah (JI) dengan memberi bantuan teknikal, data, maklumat dan strategi.

Pasukan Cawangan Khas Malaysia adalah yang pertama menghidu perancangan kumpulan JI melakukan aktiviti keganasan di peringkat antarabangsa dan pada tahun 2000 sedang merancang untuk menjatuhkan kerajaan Indonesia secara keganasan.

Akhil ketika ditemui berkata, pasukannya mula mengesan sebuah kumpulan pengganas Indonesia yang berselindung di sebalik aktiviti dakwah menerusi kuliah sebuah pusat pengajian agama di Ulu Tiram, Johor.

Katanya, kuliah itu dipimpin sekumpulan rakyat Indonesia termasuk Abu Bakar Ba'asyir dan setelah polis membongkar kegiatan mereka, sebahagian anggotanya melarikan diri dan pulang semula ke Indonesia manakala sebahagiannya ditahan di Malaysia di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

JI juga berjaya merekrut golongan profesional rakyat Malaysia yang mempunyai kepakaran dan membuat bahan letupan dan racun arsenik.

"Kita kemudiannya memberi maklumat mengenai aktiviti kumpulan JI itu kepada pihak berkuasa Indonesia tetapi sebelum itu mereka tidak bersedia untuk menghadapi sebarang ancaman keganasan sehinggalah berlakunya peristiwa pengeboman Bali pada tahun 2002," kata beliau.

Beliau berkata, selepas peristiwa Bali dan beberapa siri pengeboman di Jakarta, PDRM terus menghulurkan bantuan taktikal dan data kepada Polri untuk melumpuhkan kumpulan JI.

"Kini Polri telah jauh maju ke hadapan dalam usaha mengesan dan menangani aktiviti keganasan dan hubungan Polri dan PDRM terus akrab sehingga ke hari ini," katanya.

Akhil yang akan bersara secara rasmi pada 17 Ogos ini berkata, penganugerahan bintang itu membuktikan pengiktirafan terhadap jasa PDRM dan gerak kerja pasukan Cawangan Khas dalam membanteras kegiatan keganasan di rantau ini.

Katanya, ekoran hubungan rapat antara pasukan keselamatan kedua-dua buah negara itu, statistik keganasan menurun secara mendadak kerana pihak berkuasa kini dapat mengesannya lebih awal.

"Polis hendaklah selangkah di hadapan daripada pengganas dan disebabkan itu kita dapat menghidu sebarang ancaman keselamatan lebih awal dan mencegahnya sebelum berlaku," katanya.

Sementara itu, Abdul Hamid pula berkata, penganugerahan bintang itu juga adalah satu penghormatan kepada polis dan negara kerana ia diberikan oleh ketua sebuah negara.

"Saya rasa amat tersanjung dengan anugerah bintang tersebut. Sebenarnya saya tidak menjangka akan diberikan anugerah sedemikian kerana apa yang saya lakukan selama ini adalah atas rasa tanggungjawab dan keikhlasan," katanya.

Beliau berkata, apa yang dilakukan oleh PDRM khususnya Cawangan Khas adalah bagi menangani ancaman bersama demi memastikan keharmonian dan keamanan kedua-dua buah negara.

"Kami menerima anugerah ini dengan penuh kesyukuran dan mengucapkan terima kasih kepada Polri dan kerajaan Indonesia atas anugerah ini. Saya harap kerjasama baik antara cawangan khas dan Polri akan sentiasa baik selamanya," katanya.

Tags / Kata Kunci: Polis , Polri , Cawangan Khas

iklan

Video

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Khamis, 7 Disember 2017 8:00 PM

Nadzmi Adhwa Dikurung Selepas Kantoi Dadah

Rabu, 6 Disember 2017 2:00 PM

"Makin Ramai Nak Taja Saya" - Wany Hasrita

Kolumnis

iklan

Iklan