Ubat Dari Spesis Terancam Dijual Secara Haram

Diterbitkan: Rabu, 5 Ogos 2015 8:39 AM

(Ubah saiz teks)

EKSKLUSIF

PETALING JAYA: Produk hidupan liar yang kebanyakannya dari spesis terancam dan dilindungi, dijadikan sebagai modal buat kedai perubatan Cina di negara ini bagi peniaga mengaut keuntungan berlipat ganda.

Persatuan bagi kedai perubatan itu memberi amaran kepada ahlinya supaya tidak menjalankan perniagaan yang tidak dibenarkan itu walaupun terdapat permintaan di kalangan pelanggan yang percaya bahawa ubat-ubatan ini boleh menyembuhkan sebarang penyakit mahupun AIDS.

Rangkaian produk daripada tanduk hidupan liar spesis 'antelop' boleh menghasilkan ekstrak untuk bahan perubatan.

Kebanyakan hidupan liar dibunuh bagi mendapatkan bahagian haiwan itu merupakan spesis yang terancam atau dilindungi tetapi banyak kedai perubatan tradisional Cina di seluruh negara membekalkan produk daripada sumber berkenaan.

Tinjauan The Star menunjukkan terdapat jualan produk yang tidak dibenarkan ini dilakukan secara berleluasa walaupun hanya beberapa kedai sahaja yang mempamerkannya di premis.

Kebanyakan mereka melakukannya secara bersembunyi, hanya menjualnya apabila ditanya oleh para pelanggan yang percaya bahawa perubatan jenis itu dapat menyembuhkan penyakit dari kanser ke denggi.

Sebanyak 11 kedai telah diperiksa di Petaling Jaya, Kuala Lumpur, George Town, Kuanta dan Kuching yang menjual tanduk haiwan 'antelop' jenis saiga, yang didatangkan daripada Rusia.

Haiwan antelop ini merupakan spesis terancam.

Kebanyakan kedai di Semenanjung turut menjual bahagian landak secara mentah dalam bentuk batu atau dihasilkan sebagai serbuk.

Bagaimanapun, kesemua produk itu tidak dijual secara murah, kerana kandungan seberat 0.375 gram sahaja bernilai antara RM450 dan RM900 bergantung kepada jenis gred.

Bagi mendapatkan bahagian-bahagian haiwan ini, ia perlu dibunuh.

Terdapat ubat jenis pil dan kapsul yang dihasilkan daripada hempedu beruang atau ular, dibawa dari Hong Kong atau China namun tidak dibenarkan dijual di negara ini.

Setiausaha Agung Persekutuan Persatuan Tabib dan Pedagang Ubat Tionghua Malaysia, Steven Kow berkata, perkara itu hanya akan menggalakkan pemilik kedai untuk mencari produk hidupan liar sebagai alternatif.

Malah, ia turut menimbulkan kebimbangan di kalangan aktivis yang melindungi hidupan liar bahawa jualan secara haram itu akan menyebabkan kepupusan spesis haiwan berkenaan.

Steven Kow berkata, keadaan ini perlu diatasi dengan program kesedaran dan lebih banyak penyelidikan dilakukan bagi melihat herba dijadikan sebagai pengganti.

Persatuan itu mengingatkan kepada lebih 4,000 ahlinya supaya tidak menjual produk larangan tersebut.

Tambah Steven Kow, peniaga yang ingkar boleh berhadapan dengan sabitan kesalahan jenayah sekiranya mereka ditangkap kerana berbuat demikian.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan