MH370: Australia Hantar Pakar Ke Perancis Bantu Siasat Flaperon

Diterbitkan: Rabu, 5 Ogos 2015 4:15 PM

Serpihan pesawat Boeing 777 yang dipercayai milik MH370 kini berada di Toulouse untuk pemeriksaan lanjut.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Australia telah menghantar seorang pakar daripada Biro Keselamatan Pengangkutannya (ATSB) ke Toulouse, Perancis untuk membantu melakukan pemeriksaan terhadap flaperon pesawat Boeing 777 yang dijumpai di Pulau Reunion.

Timbalan Perdana Menterinya, Warren Truss berkata pakar itu akan menyertai pasukan penyiasat antarabangsa diketuai Perancis dan Malaysia pada Rabu untuk melakukan pemeriksaan terhadap serpihan pesawat itu yang dijumpai di pulau berkenaan.

Katanya, pihak berkuasa Malaysia, yang bertanggungjawab melakukan penyiasatan tentang kehilangan pesawat MH370 Malaysia Airlines pada Mac tahun lepas, mendapati bahawa komponen pesawat yang dijumpai di pulau itu adalah flaperon pesawat jenis Boeing 777.

Truss, yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Wilayah, berkata demikian dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut jangkaan beliau, pihak berkuasa Malaysia dan Perancis, yang menyiasat perkara itu, "mungkin bersedia untuk membuat kenyataan rasmi tentang asal usul flaperon berkenaan lewat minggu ini."

Pada Ahad, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai mengesahkan serpihan itu adalah sebahagian daripada sebuah pesawat Boeing 777.

Bagaimanapun, kata beliau, belum dapat dipastikan sama ada ia berasal daripada pesawat MH370.

Truss berkata beliau dimaklumkan agensi sains kebangsaan Australia bahawa  berdasarkan hasil siasatan pemodelan hanyutan CSIRO yang digunakan ATSB, bahan dari kawasan pencarian semasa, mungkin dihanyutkan ke Pulau Reunion dan lokasi lain oleh arus lautan dan tiupan angin.

Berdarkan hakikat itu, kata beliau, usaha mencari secara rapi dan menggunakan kaedah yang sewajarnya, akan terus ditumpukan di kawasan pencarian dalam air yang meliputi kawasan seluas 120,000 kilometer persegi di selatan Lautan Hindi.

Pesawat MH370 hilang daripada pengesanan radar pada 8 Mac tahu lepas ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing bersama 227 penumpang dan 12 anak kapal.

Pada 29 Jan tahun ini, Jabatan Penerbangan Awam Malaysia mengumumkan bahawa kehilangan pesawat itu merupakan suatu kemalangan mengikut peraturan penerbangan antarabangsa dan kesemua 239 di dalamnya dianggap meninggal dunia. -- Bernama


Tags / Kata Kunci: MH370 , Toulouse , Warren Truss , Australia

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan