SPRM: Tiada Pegawai Kami Terlibat Dalam Konspirasi Jatuhkan Kerajaan

Diterbitkan: Isnin, 3 Ogos 2015 6:23 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan bahawa tiada mana-mana pegawainya yang terlibat dalam konspirasi mahu menjatuhkan kerajaan.

Sebaliknya kata agensi itu, tanggungjawab mereka adalah untuk menjalankan siasatan berhubung kes-kes rasuah dan bukannya hendak menjatuhkan mana-mana pihak termasuklah kerajaan.

Mengenai siasatan polis ke atas kakitangannya, SPRM menjelaskan yang mereka akan memberi kerjasama sepenuhnya.

"SPRM mengulangi bahawa tiada pegawai SPRM yang terlibat dalam konspirasi mahu menjatuhkan kerajaan. Tindakan yang diambil oleh SPRM adalah jelas semata-mata bagi menjalankan tugas dan fungsinya sebagai sebuah suruhanjaya yang bebas.

"Tanggungjawab SPRM adalah menjalankan siasatan berhubung kes-kes rasuah dan bukannya bertujuan untuk menjatuhkan mana-mana pihak termasuklah kerajaan," ujar SPRM dalam satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan pada lewat petang Isnin.

Dan sebagai suruhanjaya yang bebas, katanya, SPRM bertanggungjawab menjalankan siasatan dengan bebas, telus dan profesional tanpa rasa takut atau berpihak dan tanpa mengira siapa yang terlibat.

SPRM menurut kenyataan itu lagi tidak akan membiarkan mana-mana pihak untuk mempengaruhi atau campur tangan dalam siasatan yang dijalankan.

"SPRM dengan itu menyeru orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi sehingga siasatan mengenai perkara ini selesai," tegas kenyataan tersebut lagi.

Tags / Kata Kunci: SPRM

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan