MH370: Pencarian Di Lautan Hindi Diteruskan

Diterbitkan: Isnin, 3 Ogos 2015 3:05 PM

(Ubah saiz teks)

SERI KEMBANGAN: Usaha carian MH370 di selatan Lautan Hindi akan diteruskan walaupun terdapat beberapa serpihan dan penemuan baharu di Pulau Reunion yang dapat dikaitkan dengan pesawat hilang itu.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata siasatan itu melibatkan kerjasama Malaysia, China dan Australia, justeru keputusan untuk menukar kawasan carian hanya akan dibuat selepas pasukan penyiasat di Perancis membuat pengesahan sama ada serpihan yang ditemui di Pulau Reunion minggu lalu berasal dari penerbangan MH370 atau sebaliknya.

"Usaha carian di selatan Lautan Hindi yang telah memasuki Fasa 2 akan diteruskan dan carian itu berjalan lancar.

"Pada masa sekarang kita tidak menukar kawasan carian asal dan ia masih menjadi keutamaan sehinggalah keputusan dan pengesahan serpihan yang ditemui di Pulau Reunion diperolehi," katanya pada sidang media selepas merasmikan SJK (C) Bukit Serdang di sini, Isnin.

Menurut Tiong Lai, pada masa ini Malaysia telah menghantar dua pasukan penyiasat ke Perancis dan Pulau Reunion susulan penemuan flaperon di pulau itu minggu lalu.

Mengulas lanjut, Tiong Lai yang juga Presiden MCA berkata sebarang keputusan mengenai kawasan carian perlu mendapat persetujuan bersama dari tiga negara terlibat.

Tambahnya semua pihak yang terlibat dalam siasatan MH370 perlu membuat siasatan dengan berhati-hati dan profesional.

Katanya, keputusan siasatan terhadap flaperon Boeing 777 yang telah tiba di makmal tentera di Perancis Sabtu lalu dan akan mula disiasat pada Rabu ini akan dapat menentukan tindakan susulan yang akan diambil.

Bagaimanapun beliau tidak mahu membuat spekulasi tentang berapa lama siasatan akan dijalankan dan bila keputusan siasatan akan diumumkan.

"Jika sah (MH370) perkara pertama yang perlu dilakukan adalah memaklumkan Pasukan Penyiasat Bebas Antarabangsa dan kemudian mereka akan menentukan tindakan segera.

"Sekarang perkara ini masih dalam proses siasatan," katanya.

Mengenai siasatan di Perancis yang hanya akan dimulakan pada Rabu walaupun ia telah tiba di makmal beberapa hari lebih awal, beliau berkata siasatan ini memerlukan penglibatan wakil-wakil dan agensi-agensi antarabangsa.

"Ia perlu menjalani beberapa proses perundangan dan protokol melibatkan wakil-wakil dari China, Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis dan Malaysia," katanya.

Tags / Kata Kunci: MH370 , MAS

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan