Polis Siasat Sarawak Report Kerana Sebar Fitnah - KPN

Diterbitkan: Jumaat, 31 Julai 2015 4:04 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Polis kini menjalankan siasatan terhadap portal berita Sarawak Report kerana disyaki menyebarkan fitnah dengan mendakwa kononnya wujud draf pertuduhan terhadap Perdana Menteri Datuk Sri Najib Tun Razak.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata siasatan dijalankan  kerana portal berita itu cuba menganggu gugat sistem demokrasi berparlimen di negara ini, mengikut Seksyen 124 Kanun Keseksaan.

"Beberapa laporan polis mula diterima sejak semalam dan polis akan menjalankan siasatan terhadap fitnah dan dakwaan tidak berasas itu," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing di Sabah di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini, Jumaat.

Mesyuarat itu dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Dalam Negeri dan turut dihadiri Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.

Khalid menegaskan penafian terhadap laporan Sarawak Report telah dilakukan oleh Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan tidak perlu untuk polis memanggil beliau ataupun bekas Peguam Negara lain bagi mengambil keterangan berhubung perkara tersebut.

Peguam Negara juga  menafikan kewujudan dokumen pertuduhan terhadap Najib dan tuduhan oleh Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown dalam blog politik berita itu adalah palsu.-- Bernama




iklan

Kolumnis

iklan

Iklan