Ahli Parlimen Pembangkang Dalam PAC Mahu Siasatan 1MDB Diteruskan

Diterbitkan: Jumaat, 31 Julai 2015 3:56 PM

tony pua

Tony Pua

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen pembangkang dalam Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) menolak dakwaan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia bahawa jawatankuasa itu tidak boleh meneruskan prosiding sehingga pengerusi baharu dilantik.

Mereka menjelaskan bahawa Peraturan Tetap Mesyuarat 77 (3) membenarkan jawatankuasa untuk melantik seorang anggota bertindak sebagai pengerusi sekiranya pengerusi sedia ada tidak dapat menghadiri pendengaran itu bagi 'apa-apa sebab sekalipun'.


"Apabila ia mengatakan apa-apa jua sebab, ini termasuk kekosongan apabila pengerusi sedia ada dilantik sebagai timbalan menteri," kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua, Jumaat.

Beliau berkata tafsiran Speaker terhadap Peraturan Tetap adalah satu penyalahgunaan kuasa dan akan dilihat sebagai satu percubaan untuk menghalang PAC daripada melaksanakan fungsinya.

"Sebelum ini, Pandikar mahu meletakkan jawatan sebagai Speaker kerana merasakan bahawa Parlimen bertugas atas arahan kerajaan sebagai badan eksekutif.

"Pengumuman ini hanya akan menguatkan persepsi bahawa beliau adalah di bawah perintah Eksekutif untuk menyekat siasatan PAC," kata Pua.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi PAC Dr Tan Seng Giaw berkata jawatankuasa itu akan tetap meneruskan pendengaran isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dijadualkan pada 4 Ogos ini sehingga surat rasmi dikeluarkan untuk menggantung prosiding itu.

Beliau mengulangi bahawa lima ahli Parlimen pembangkang sedia ada dan empat ahli Parlimen Barisan Nasional dalam PAC memenuhi korum untuk membolehkan prosiding diteruskan.


Peraturan Tetap 83 (3) menyatakan bahawa korum adalah tiga orang ahli termasuk pengerusi.

"Sembilan ahli sudah cukup mampu untuk bertanya soalan bagi mengesan perkara yang benar daripada mereka yang mengendalikan 1MDB.


"Persoalan barisan ahli tidak timbul kerana apa yang kita mahu adalah mengetahui kebenaran tentang 1MDB," katanya.

Seorang lagi rakannya dalam PAC Datuk Kamarul Baharin Abbas (Teluk Kemang-PKR) berkata sebarang keputusan untuk menggantung prosiding hendaklah dibuat secara kolektif oleh jawatankuasa itu.

"Kita tidak boleh menerima hakikat bahawa prosiding telah ditangguhkan. Kita akan hadir pada pendengaran yang dijadualkan minggu depan dan lihat apa yang berlaku," katanya.

Kamarul berkata bukan sesuatu yang luar biasa untuk pendengaran PAC diteruskan dengan hanya 4-5 ahli pada masa lalu, dengan majoriti mereka terdiri daripada pembangkang.

Siasatan PAC mengenai 1MDB yang sedang dijalankan menimbulkan keraguan pada Selasa selepas empat anggotanya, termasuk Datuk Nur Jazlan Mohamed, telah dilantik sebagai menteri dan timbalan menteri.

Jawatankuasa itu dijadual mengadakan pertemuan beberapa kali lagi antara 4 Ogos dan 17 Ogos, di mana saksi utama penyiasatan 1MDB ini akan dipanggil.

Pua berkata, saksi wajib muncul untuk prosiding seperti yang dirancang dan tidak mempunyai alasan untuk tidak hadir.

"Mereka tidak mempunyai hak untuk menyatakan mereka tidak akan hadir kerana PAC telah digantung. Ahli-ahli jawatankuasa sendiri belum secara rasmi dimaklumkan mengenai sebarang penggantungan," katanya.
Tags / Kata Kunci: PAC , 1MDB , Tony Pua

iklan

Video

Khamis, 23 November 2017 11:18 PM

Fazura Sah Tunangan Fattah Amin

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan