Rusia Guna Kuasa Veto Tolak Resolusi Tribunal MH17

Diterbitkan: Khamis, 30 Julai 2015 11:04 AM

(Ubah saiz teks)

PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB): Rusia menggunakan kuasa veto menolak resolusi Majlis Keselamatan PBB bagi penubuhan tribunal khas untuk mendakwa mereka yang bertanggungjawab menembak jatuh penerbangan MH17 di Ukraine.

Sebelas daripada 15 anggota Majlis Keselamatan PBB mengundi menyokong resolusi itu yang dirangka oleh Australia, Belgium, Malaysia, Belanda dan Ukraine.

Rusia menggunakan kuasa veto manakala Angola, China dan Venezuela berkecuali.

Sesi Majlis Keselamatan PBB itu bermula dengan tafakur sebagai penghormatan kepada 298 orang yang terbunuh dalam tragedi 17 Julai, 2014 itu.

Moscow merangka resolusi pilihan yang tidak memasukkan sebuah tribunal tetapi meminta siasatan penuh antarabangsa dan dutanya memberi penjelasan panjang bagi mempertahankan tindakan Rusia itu.

Vitaly Churkin berkata, penyiasat Rusia dinafikan hak ke tapak pesawat itu terhempas dan membidas apa yang mungkin mungkin menjadi pendakwaan jenayah "secara tertutup" jika resolusi itu diluluskan.

"Apakah asas yang dapat memastikan keadilan dalam siasatan itu?" soal Churkin dalam ucapannya kepada majlis itu sambil membidas "propaganda agresif menerusi media".

Ukraine dan Barat menuduh puak pemisah pro-Rusia bertanggungjawab dan menyatakan mereka mungkin mengguna peluru berpandu darat ke udara Buk yang dibekalkan Russia bagi menembak jatuh pesawat Boeing 777 itu.

Moscow menafikan pembabitan itu dan sebaliknya menuduh tentera Ukraine.

Duta Amerika Syarikat, Samantha Power, berkata beliau "marah dan amat kecewa" dengan penggunaan kuasa veto itu tetapi menegaskan tiada veto yang akan menggoncang komitmen AS memberikan keadilan kepada waris mangsa. 

"Dengan menggunakan kuasa veto, Rusia cuba menafikan keadilan kepada 298 mangsa dalam pesawat berkenaan dan menafikan hak waris mereka mengetahui mereka yang bertanggungjawab," katanya.

Terdahulu, Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Seri Liow Tiong Lai, merayu kepada anggota Majlis Keselamatan PBB supaya menerima resolusi itu.

Malah beliau berkata sebuah tribunal adalah wadah terbaik untuk "memberikan keadilan kepada keluarga mangsa". - AFP
Tags / Kata Kunci: Rusia , veto , tribunal khas , MH17

iklan

Video

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Kolumnis

iklan

Iklan