Umno Batal Mesyuarat MT, Taklimat Isu Semasa

Diterbitkan: Rabu, 29 Julai 2015 4:17 PM

(Ubah saiz teks)

Dikemaskini

PETALING JAYA: Umno membatalkan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) parti itu yang dijadual diadakan di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini pada Jumaat ini.

Keputusan itu dibuat susulan perkembangan terkini politik semasa negara, termasuk pengguguran Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal daripada Kabinet di mana kedua-duanya adalah Timbalan Presiden dan Naib Presiden Umno.

Turut dibatalkan ialah majlis taklimat tertutup berhubung isu semasa oleh Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak dan majlis sambutan hari raya bersama kepimpinan parti itu yang dijadual diadakan pada hari yang sama.

Pembatalan dua majlis penting berkenaan dimaklumkan menerusi surat berasingan yang ditandatangani oleh Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bertarikh 29 Julai 2015 (Rabu).

Tengku Adnan bagaimanapun tidak menyatakan sebarang alasan berhubung pembatalan dua majlis tersebut.

Rombakan kabinet seperti yang diumumkan Najib pada Selasa menyaksikan Naib Presiden Umno yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri, menggantikan Muhyiddin.

Pengguguran Muhyiddin daripada Kabinet yang diterajui Najib bagaimanapun tidak menjejaskan kedudukannya sebagai Timbalan Presiden Umno.

Terdahulu pada sidang media di kediamannya di Bukit Damansara, Muhyiddin berkata, beliau akan menghadiri semua majlis berkaitan Umno termasuk mesyuarat MT dan taklimat bersama presiden seperti yang dijadualkan.

Selain itu, Shafie ketika ditemui pada Selasa malam di kediamannya juga mengesahkan akan menghadiri mesyuarat MT kerana menghormati Umno serta jawatan Naib Presiden yang disandangnya.

Ketika dihubungi, Tengku Adnan berkata, beliau tidak faham kenapa orang ramai berminat mengetahui sebab mesyuarat MT Umno dibatalkan.

"Ini bukan kali pertama ia dibatalkan dan saya rasa ia tidak akan menjadi yang terakhir," katanya.

Beliau menjelaskan, pembatalan itu kerana kebanyakan ahli MT Umno termasuk presiden parti yang terpaksa memenuhi jemputan Hari Raya.

"Selain itu, ketika ini mesyuarat bahagian Umno sedang berlangsung dan tentunya ada yang perlu menghadiri mesyuarat, malahan ada yang perlu mewakili jawatankuasa perhubungan negeri atau ibu pejabat," tambahnya.

Mengenai pembatalan perjumpaan antara pemimpin dengan ketua bahagian termasuk timbalan, deputi, wanita, beliau dan puteri , kata Tengku Adnan, dewan untuk majlis itu sudah penuh untuk kegunaan Mesyuarat Menteri-Menteri Asean ke-48.

Malaysia yang juga Pengerusi Asean menjadi tuan rumah untuk persidangan itu antara 1 hingga 6 Ogos.

Tags / Kata Kunci: Umno , Majlis Tertinggi

iklan

Video

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Kolumnis

iklan

Iklan