Kabinet Baharu Akan Tingkatkan Keyakinan Terhadap Kerajaan - PM

Diterbitkan: Rabu, 29 Julai 2015 6:05 PM

Datuk Seri Najib Tun Razak

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pasti bahawa Kabinet baharu akan meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap kerajaan dan Barisan Nasional menjelang pilihan raya umum ke-14.

Dalam satu kenyataan di Facebook pada Rabu, Najib berkata beliau percaya barisan Kabinet baharu akan memacu keupayaan kerajaan untuk menunaikan janji-janjinya kepada rakyat pada pilihan raya umum lepas.

"Tidak ada yang lebih penting daripada keperluan Malaysia dan rakyat - saya akan sentiasa meletakkan kepentingan mereka paling atas berbanding perkara lain," katanya.

Pada Selasa, Najib mengumumkan pelantikan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri yang baharu bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata Kabinet baharu itu memastikan bahawa kerajaan mempunyai kekuatan dan perpaduan bagi memberi tumpuan kepada rancangan pembangunan Malaysia, dan cabaran yang dihadapi oleh negara ini.


"Berikutan mandat demokrasi diberikan kepada kerajaan Barisan Nasional pada pilihan raya umum 2013, adalah tugas saya untuk memastikan bahawa Kerajaan dapat menyampaikan program transformasi," katanya.

Beliau juga mengulangi bahawa walaupun beliau mengalu-alukan perdebatan, bertolak ansur dengan kritikan atau perbezaan pendapat, Kabinet perlu bertindak sebagai satu pasukan.

"Ahli-ahli Kabinet tidak sepatutnya menyuarakan perbezaan mereka dalam forum terbuka yang boleh menjejaskan pandangan umum terhadap kerajaan dan Malaysia. Ia adalah bertentangan dengan konsep tanggungjawab bersama yang merupakan asas kepada Kabinet Kerajaan, " katanya.

Najib berkata keputusan untuk menggantikan Muhyiddin sangat sukar, tetapi kepimpinan adalah mengenai melakukan apa yang betul.

"Barisan Nasional telah diasaskan daripada prinsip perpaduan. Itulah lambang negara ini - dan resipi untuk kejayaan masa depan kita, " katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan