Ummi Hafilda Isytihar Keluar Umno Depan Rumah Muhyiddin

Diterbitkan: Selasa, 28 Julai 2015 6:53 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Saksi pertama perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ummi Hafilda Ali pada Selasa mengumumkan keluar Umno berikutan kekecewaannya terhadap pengguguran Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai timbalan perdana menteri.

Ummi yang juga adik kepada Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali merupakan Ahli Umno Gombak.

"Saya Ummi Hafilda Ali yang pernah menjadi saksi utama kepada kerajaan bagi kes Anwar Ibrahim mengisytiharkan saya keluar dari Umno hari ini (Selasa).

"Saya malu mengaku ahli Umno kerana apabila kebenaran ditentang dengan cara yang kotor seperti ini. Saya tidak ada jawatan (dalam Umno) tetapi berani menegakkan kebenaran," kata Ummi kepada pemberita di luar kediaman Muhyiddin di Bukit Damansara di sini, Selasa.

Pada Selasa, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan rombakan kabinet yang menyaksikan Muhyiddin digugurkan sebagai timbalan perdana menteri dan jawatan itu digantikan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Dilaporkan, pemecatan Muhyiddin berikutan kontroversi kenyataannya mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada Ahad lalu.

Ummi berkata, pengguguran Muhyiddin dalam Kabinet menunjukkan tiada lagi ketelusan, kebebasan dan penghargaan ke atas kepimpinan hari ini dan Umno.

Beliau secara peribadi berpendapat bahawa pemecatan Muhyiddin merupakan tanda kejatuhan kepimpinan kerajaan hari ini.

"Kalau seorang timbalan perdana menteri, orang nombor dua dalam negara tegur, bukan marah tetapi boleh dipecat, apatah lagi rakyat. Di mana rakyat hendak berpayung?

"Dia (Muhyiddin) mempertikaikan atas apa yang berlaku dan meminta penjelasan kepada rakyat. Adakah ini yang dikatakan rakyat didahulukan kerana dia mewakili berjuta-juta rakyat.

"Pemecatan Muhyiddin....maaf cakap, mungkin betul atau tidak, tetapi naluri saya adalah tandanya akan berkubur Umno selepas 69 tahun," katanya.

Muhyiddin dalam ucapannya pada malam Ahad lalu menggesa kerajaan mengambil langkah segera untuk menyelesaikan permasalahan negara terutama isu skandal 1MDB.

Jika tidak, katanya, isu itu akan menjadi beban kepada Umno sebagai parti yang mendukung kerajaan.

Tambah Muhyiddin, jika isu itu berlarutan ia akan terus menjejas keyakinan anggota parti dan rakyat terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) sekaligus berupaya menjejaskan peluang kerajaan untuk mendapat majoriti mudah dalam pilihan raya umum akan datang.

Tags / Kata Kunci: Umno , Ummi Hafilda

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan