PMO Tak Akan Keluarkan Kenyataan Mendahului Pasukan Penyiasat - Pegawai Khas PM

Diterbitkan: Selasa, 28 Julai 2015 12:49 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pejabat Perdana Menteri (PMO) tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan mendahului pasukan penyiasat dalam kes berhubung 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata Pegawai Tugas-Tugas Khas Perdana Menteri Datuk Rizal Mansor.

Beliau berkata Pejabat Perdana Menteri tidak boleh mendahului pasukan siasatan termasuk Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), pasukan petugas khas dan Jabatan Audit Negara dalam mengeluarkan sebarang kenyataan kerana kes itu masih dalam siasatan serta bagi mengelakkan sebarang fitnah daripada berleluasa.

"Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) sendiri sudah memberikan komitmen dan kebebasan untuk pasukan penyiasat menjalankan siasatan dan kita hanya perlu nantikan hasil siasatan daripada sumber yang paling tepat iaitu pasukan penyiasat ini sendiri," katanya kepada Bernama selepas menghadiri program Ruang Bicara BernamaTV bertajuk 'Bahana Fitnah' di sini malam Isnin.

Beliau berkata pelbagai fitnah dicipta sejak kebelakangan ini dengan tujuan untuk mewujudkan perpecahan di kalangan masyarakat dan rakyat dan fitnah tersebut akhirnya menimbulkan kebencian dan dendam terhadap pemimpin negara.


"Nasihat saya agar rakyat bijak menilai berita dan memastikan berita yang diterima adalah sahih daripada sumber yang berwibawa," katanya.
Tags / Kata Kunci: PMO , 1MDB , pasukan penyiasat , Datuk Rizal Mansor

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan