Menteri-Menteri Baharu Janji Pikul Amanah

Diterbitkan: Selasa, 28 Julai 2015 10:47 PM

Penduduk Kampung Chempaka di Kuantan mengikuti perkembangan pembentangan rombakan kabinet oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa. Pengumuman rombakan kabinet secara langsung menerusi televisyen itu menyaksikan lima orang digugurkan dan tujuh dilantik menteri baharu. --fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Beberapa menteri baharu dalam barisan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, berikrar menjalankan tugas mereka dengan penuh amanah dan tanggungjawab.

Mereka ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Tun Said Keruak, Datuk Seri Mahdzir Khalid (Menteri Pendidikan), Datuk Seri Azalina Othman Said (Menteri di Jabatan Perdana Menteri), Datuk Wilfred Madius Tangau (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi) dan Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar (Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar).

Perkhidmatan mereka berkuat kuasa esok.

Turut dilantik sebagai menteri ialah Datuk Hamzah Zainudin (Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan) dan Datuk Seri Ong Ka Chuan (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II).

Dalam reaksinya, Salleh yang juga bekas Ketua Menteri Sabah, berkata beliau akan berusaha memastikan dasar-dasar di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dapat dilaksanakan sebaik-baiknya.

Menurutnya beliau akan mengambil pendekatan kerja berpasukan seperti yang diharapkan Najib supaya semua dasar dapat dilaksanakan secara berkesan seterusnya sampai kepada rakyat.

"Saya ucapkan berbanyak terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang telah memberi kepercayaan kepada saya untuk menyertai Kabinet baharu beliau," katanya yang dilantik sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia.

Mahdzir pula mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri di atas kepercayaan beliau melantiknya menyandang jawatan Menteri Pendidikan.

Beliau yang juga bekas Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air berkata jawatan itu merupakan amanah besar kerana sektor pendidikan merupakan tunjang untuk mencapai negara maju.

"(Saya) berazam memastikan sektor pendidikan di negara ini lebih ke hadapan dan berharap mendapat sokongan padu daripada semua pihak dalam menjalankan tugas yang mencabar ini," katanya dalam kenyataan ringkas hari ini.

Mahdzir yang juga bekas Menteri Besar Kedah dan Anggota Parlimen Padang Terap mengambil alih jawatan itu daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Azalina yang juga Anggota Parlimen Pengerang pula menyifatkan pelantikannya sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri adalah sesuatu yang mengejutkan.

Katanya beliau mengetahui tentang pelantikannya itu menerusi radio.

"Saya terperanjat dengan berita itu tetapi berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana memberi keyakinan kepada saya untuk menyertai barisan kabinet baharu ini," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Azalina yang juga Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) berharap pelantikannya itu dapat memberi kekuatan kepada barisan Kabinet baharu dan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Sebelum ini, Azalina pernah berkhidmat sebagai Menteri Pelancongan dari 2008 hingga 2009 dan Menteri Belia dan Sukan dari 2004 hingga 2008.

Sementara itu, Tangau yang juga pemangku presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) berkata beliau berterima kasih kepada perdana menteri kerana melantiknya sebagai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

"Saya berterima kasih kepada perdana menteri di atas kepercayaan beliau terhadap saya dan UPKO. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada semua anggota UPKO...saya perlukan sokongan penuh parti dalam melaksanakan tugas baharu ini," kata Anggoat Parlimen Tuaran itu dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkecimpung dalam politik sejak 1980-an dan pada 1999, beliau memenangi kerusi Parlimen Tuaran.

Wan Junaidi ketika dihubungi Bernama turut melahirkan rasa terharu dan berterima kasih kepada Najib di atas kepercayaan beliau melantiknya seabgai Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar.

"Harapan saya ialah untuk selesaikan isu-isu berkaitan alam sekitar termasuk pengurusan banjir dan saliran demi kesejahteraan rakyat negara ini.

"Saya akan berbincang dengan agensi berkaitan mengenai perkara ini dan saya harap kami dapat bekerja sebagai satu pasukan yang mantap," katanya yang sebelum ini menyandang jawatan Timbalan Menteri Dalam Negeri.

Wan Junaidi yang juga Anggota Parlimen Santubong mengambil alih jawatan itu daripada Datuk Seri G. Palanivel.

Tags / Kata Kunci: Rombakan Kabinet

iklan

Video

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Kolumnis

iklan

Iklan