Jangan Persoal Keputusan Najib Rombak Kabinet - Tengku Adnan

Diterbitkan: Selasa, 28 Julai 2015 6:12 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Ahli Umno diminta tidak mempersoalkan keputusan rombakan Kabinet dalam pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sebaliknya Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mahu ahli parti itu bertenang dan memberi sepenuh kepercayaan terhadap tindakan Najib yang juga presiden Umno.

"Sewajarnya keputusan beliau tidak perlu dipersoalkan sebagaimana hak beliau yang memegang amanah bagi memastikan barisan jemaah menteri kukuh dalam menghadapi cabaran mengurus tadbir negara.

"Saya juga menyeru ahli Umno untuk terus bersatu memperteguh muafakat dan memperkukuh tekad dalam memastikan parti terus teguh serta dapat bersama-sama mempertahankan kesejahteraan negara," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Najib sebelum ini mengumumkan pengguguran Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai timbalan perdana menteri berkuat kuasa 29 Julai.

Kedudukan Muhyiddin yang juga timbalan presiden Umno kini diambil alih oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid juga merupakan naib presiden Umno.

Selain itu dua lagi pemimpin Umno yang turut digugurkan daripada senarai Kabinet Persekutuan ialah bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal dan bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek.

Shafie adalah naib presiden Umno manakala Hasan adalah Ahli Majlis Tertinggi Umno.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan