Penggunaan Meluas Prasarana Pengangkutan Sedia Ada Di Bawah RMK11

Diterbitkan: Isnin, 27 Julai 2015 2:42 PM

Abdul Wahid Omar.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11) akan menumpukan kepada penggunaan meluas prasarana dan kemudahan pengangkutan sedia ada dengan penekanan utama kepada penyediaan, kualiti perkhidmatan dan penambahbaikan kapasiti yang lebih baik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata ini termasuk menggantikan Pusat Kawalan Nasional di Subang dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur baharu bagi menambah baik kapasiti pergerakan pesawat di ruang udara.

"Selain itu, komunikasi, navigasi dan pengawasan serta sistem pengurusan trafik udara juga akan dinaik taraf," katanya pada majlis permeteraian perjanjian kerjasama antara AirAsia Bhd dan Destini Aviation Sdn Bhd, di sini, Isnin.

Abdul Wahid berkata Malaysia dijangka menerima sejumlah 90 juta penumpang udara tahun ini mengatasi rekod 85.1 juta tahun lepas.

"Bagi menampung jangkaan peningkatan kedatangan penumpang ahli perniagaan dan pelancong, lapangan terbang, terutamanya pintu masuk antarabangsa utama, akan dinaik taraf," katanya.

Beliau berkata RMK11 juga bertujuan untuk mentransformasikan sektor penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) dengan meningkatkan kualiti modal insan bagi menangani kekurangan tenaga kerja khusus yang mungkin menjejaskan pertumbuhan sektor tersebut.

"Ini akan dapat dicapai menerusi jalinan kerjasama antara industri dan institusi pengajian tinggi, bagi memenuhi keperluan industri dan memastikan tenaga kerja yang dilahirkan mempunyai pendedahan yang perlu," katanya.

Abdul Wahid berkata latihan industri yang berstruktur bagi pelajar vokasional dan pengajian tinggi bagi kursus tertentu akan melahirkan tenaga kerja berkelayakan manakala kursus sekarang akan dipertingkatkan bagi memberi penekanan kepada keupayaan kemahiran insaniah.

Tahun lepas, industri aeroangkasa yang terdiri daripada 159 syarikat, dengan 19,500 pekerja, menjana pendapatan RM11.8 bilion.

Perjanjian antara AirAsia dan Destini Aviation itu akan menyediakan landasan bagi kedua-dua syarikat tersebut untuk memulakan rundingan akhir dan pelan pelaksanaan bagi penyumberan luar kejuruteraan.

Perjanjian itu merangkumi inisiatif-inisiatif utama bagi penyumberan luar strategik iaitu pengendalian teknikal, MRO komponen dan MRO berasaskan hangar.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan