Elaun Adun Melaka Naik RM9,000 Sebulan

Diterbitkan: Isnin, 27 Julai 2015 8:25 PM

Idris Haron berucap di Persidangan Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri ke-13 di Seri Negeri pada Isnin. Foto: Bernama

(Ubah saiz teks)

MELAKA: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka meluluskan Enakmen Ahli Pentadbiran dan Dewan Negeri (Saraan) (Pindaan) 2015 yang menyaksikan kenaikan elaun Anggota Dewan Udangan Negeri (ADUN) sebanyak 12.5 peratus kepada RM9,000 sebulan berkuat kuasa 1 Januari lepas.

Rang undang-undang itu dibentang Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron dan disokong Exco Pengangkutan dan Pemulihan Projek Datuk Lim Ban Hong.

Idris ketika membentangkannya berkata enakmen itu turut melibatkan kenaikan ke atas saraan Ketua Menteri daripada RM14,175.15 kepada RM15,000 dan Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri daripada RM6,109.29 kepada RM7,000 sebulan.

Beliau berkata kenaikan turut melibatkan saraan Speaker yang bukan dalam kalangan ADUN iaitu daripada RM6,109.29 kepada RM8,000 bagi, manakala bagi Speaker dalam kalangan ADUN sebanyak RM7,000 sebulan.

Katanya Timbalan Speaker turut menikmati kenaikan saraan daripada RM2,662 kepada RM3,000.

Idris berkata kenaikan saraan turut melibatkan 106 pesara ADUN yang bakal menerima kenaikan berdasarkan tahun perkhidmatan mereka.

"Implikasi kewangan yang diperlukan bagi tujuan membiayai kenaikan elaun dan saraan ini akan melibatkan pertambahan peruntukan lebih RM2 juta setahun,"katanya pada Isnin.

Goh Leong San (DAP-Duyong) ketika membahaskan rang undang-undang itu berkata kerajaan negeri perlu juga memberikan kemudahan secukupnya kepada Ketua Pembangkang DUN Melaka bagi memastikan mereka yang memegang jawatan itu dapat bertugas dengan sebaiknya.

Idris ketika menggulung perbahasan yang turut diambil bahagian oleh empat ADUN berkata kerajaan negeri menyambut baik cadangan Goh itu dan bersedia mengkaji untuk memberikan elaun serta kemudahan tertentu untuk jawatan tersebut.

"Bagaimanapun sehingga kini pihak pembangkang gagal melantik ketua dikalangan mereka, jadi bagaimana kita nak bincang. Saya sarankan pembangkang lantik ketua dahulu baru kita boleh bincang untuk ke hadapan," katanya.

Goh telah meletak jawatan sebagai ketua pembangkang pada 8 Oktober 2013 disebabkan pertelagahan dalaman dengan pimpinan DAP pusat dan beberapa ADUN DAP dari Melaka sendiri dan sejak itu pihak pembangkang gagal melantik ketua dalam kalangan mereka.

Rang undang-undang itu kemudiannya diluluskan dengan sokongan 22 orang ADUN manakala enam lagi berkecuali. Persidangan Dewan disambung pada Selasa.

Tags / Kata Kunci: Adun Melaka , Elaun naik

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan