KDN Urus Dengan Britain Jika Ada Prima Facie Terhadap Brown

Diterbitkan: Ahad, 26 Julai 2015 12:10 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan berurusan dengan kerajaan Britain melalui Wisma Putra jika terdapat 'prima facie' untuk tindakan perundangan ke atas pengendali laman Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerjasama antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan Scotland Yard sudah sedia terjalin dan ini akan memudahkan tindakan susulan dibuat bagi melakukan ekstradisi jika diperlukan.

"Jika terdapat unsur-unsur jenayah yang dilakukan oleh Clare Brown, hubungan dua hala dalam bentuk pertukaran maklumat risikan sudah sedia terjalin antara Malaysia dan Britain," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Bagaimanapun, beliau berkata sebarang tindakan yang akan diambil bergantung kepada siasatan muktamad PDRM.

"Sebagaimana prinsip kedaulatan yang dihormati antara negara, sudah pasti pihak British tidak merestui mana-mana individu warganegaranya mencampuri urusan dalaman negara lain," katanya.

Ahmad Zahid berkata biarpun kebebasan pendapat dilaksanakan di negara ini, namun sebarang maklumat yang dipinda dan diada-adakan tidak boleh diterima.

"Apatah lagi jika paparan berita atas talian oleh Clare Brown mempunyai niat jahat," katanya.

Dalam temu bual eksklusif dengan akhbar Straits Times dari Singapura di penjara Thailand baru-baru ini, bekas eksekutif PetroSaudi International Ltd. (PetroSaudi), Andre Justo Xavier mendakwa dia bersetuju menjual maklumat sulit yang dicuri daripada bekas majikannya kepada Brown dan seorang ahli perniagaan Malaysia yang merancang meminda maklumat berkenaan sebagai cubaan menjatuhkan kerajaan Malaysia.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan