Malaysia Belum Bersedia Untuk Status Negara Tua

Diterbitkan: Ahad, 26 Julai 2015 9:40 AM

(Ubah saiz teks)

MALAYSIA akan mencapai status negara tua dengan lebih pantas berbanding jangkaan pada tahun 2030 dan kita masih belum bersedia.

Kita kini sedang bergelut dengan isu kekurangan wang, infrastruktur dan pusat penjagaan untuk warga tua.

Menyifatkan keadaan itu sebagai 'buruk jika kita tidak berbuat apa-apa', Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Strategi) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Tunku Alizakri Alias ​​berkata negara berdepan dengan penuaan sebelum mencapai status negara maju.

Bilangan anak muda jatuh menjunam manakala bilangan warga emas melambung, katanya.

"Negara-negara lain juga semakin tua, tapi mereka sudah maju. Tempoh untuk kita membuat perancangan adalah lebih singkat.

"Membuat dasar dan melaksanakannya mengambil masa. Dan, anda tidak boleh menyimpan wang dalam sekelip mata," katanya sambil menegaskan bahawa simpanan persaraan tidak mencukupi dan masalah celik kewangan yang rendah merupakan cabaran besar.

Sebanyak 68 peratus daripada ahli yang berumur 54 tahun mempunyai simpanan kurang dari RM50,000 yang hanya mampu bertahan selama lima tahun dengan andaian mereka membelanjakan RM820 sebulan.

Umur pengeluaran KWSP penuh adalah 55 tetapi jangka hayat purata ialah 75.

Rakyat Malaysia perlu menghadapi kenyataan. Lebih lama kita hidup, lebih lama kita mesti bekerja, katanya.

"Pendapatan garis kemiskinan yang baharu adalah RM930. Jadi, anda fikir berapa lama RM50,000 akan bertahan sekarang dengan kos penjagaan kesihatan yang 
semakin meningkat?," soalnya.

Beliau juga mengingatkan tentang pengeluaran KWSP yang lebih awal untuk perbelanjaan yang tidak membina aset.

Pada zaman dahulu, melabur dalam pendidikan anak-anak akan membawa pulangan. Hakikatnya, beliau berkata, pada masa kini, ia bukan satu perkara yang pasti 
bahawa anak-anak akan menjaga ibu bapa.

"Pengeluaran wang untuk pelaburan juga berisiko kerana satu dalam 10 perniagaan baharu adalah gagal."

Beliau percaya bahawa celik kewangan adalah kunci untuk menghadapi cabaran sebuah negara tua.

Itulah sebabnya KWSP melancarkan Khidmat Nasihat Persaraan pada tahun lepas.

"Kita juga perlukan pelan induk keselamatan sosial secara holistik. Penembusan insurans untuk penyakit kritikal terlalu rendah di sini. Perlu ada liputan 
yang lebih baik bagi mereka yang berada di sektor tidak formal.

"Kita perlu untuk bergerak sekarang."

Beliau berkata kekurangan produk persaraan bagi mereka yang dalam kategori penuaan aktif (55-70), penuaan pasif (65-80) dan lemah (80) adalah satu cabaran besar.

Sedia untuk bersara bermaksud mempunyai jaminan kewangan, kekal sihat untuk menjalani sebuah kehidupan yang lebih gembira dan bermakna, tambah beliau.

Jurulatih kewangan Carol Yip, yang mengikuti ijazah kedoktoran dalam penjagaan orang tua, bersetuju dengan pandangan ini.

Bersedia atau tidak, kita semakin cepat mengalami penuaan dan memerlukan pusat penjagaan dengan segera, kata Yip, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Aged Care Group berkata.

Aged Care adalah sebuah organisasi yang menyediakan pusat penjagaan kanak-kanak, perkampungan persaraan, dan rumah penjagaan.

Masalah penjagaan orang tua sentiasa ada tetapi sekarang ia lebih meruncing kerana kenaikan kos, perubahan nilai-nilai, migrasi bandar dan keluarga 
yang lebih kecil, katanya.

"Jangan bercakap tentang 2020. Sehingga hari ini, kita masih belum dapat memenuhi keperluan penjagaan orang tua!

"Banyak di hospital-hospital, anda melihat warga tua memenuhi katil kerana adalah lebih murah untuk membayar RM80 bagi khidmat kejururawatan 24 jam dan 
tiga kali makanan panas setiap hari daripada membawa mereka pulang.

"Ia adalah satu masalah."

Kekurangan perkhidmatan pakar, penjaga dan doktor geriatrik adalah cabaran yang memerlukan perhatian.

Juga penting adalah satu rangka kerja undang-undang, prosedur operasi standard dan penguatkuasaan untuk menguruskan kes-kes penderaan dan untuk mengelakkan pusat-pusat tersebut daripada menjadi tempat lambakan warga emas dan infrastruktur mesra-orang tua.

"Kami telah mencapai kemajuan tetapi tidak cukup pantas," kata beliau.

Yip yang menganjurkan Persidangan Transformasi Persaraan Malaysia pada 2010 dan Persidangan Penjagaan Kesihatan dan Persaraan Swasta pada tahun 2011, mencadangkan akaun keempat ditubuhkan oleh KWSP untuk penjagaan orang tua.

Ia membolehkan ahli mengeluarkan wang hanya pada usia 65 atau 70 kerana pada umur itulah biasanya kumpulan ini memerlukan tahap penjagaan yang tinggi dan terdedah kepada penyakit seperti dementia atau Parkinson.

Menjelaskan mengapa penjimatan secara paksa adalah satu kemestian, beliau berkata orang ramai masih tidak tahu apa yang mereka perlukan di usia tua mereka dan hanya boleh merancang untuk 10 tahun pertama persaraan.

Beliau juga menggesa supaya umur persaraan dinaikkan kepada '65 atau lebih tinggi'.

Beliau mencadangkan agal pembekal amanah saham dan insurans menjadi sebahagian daripada penyelesaian.

"Wujudkan platform penjagaan terurus. Luaskan perlindungan perubatan.

"Ada satu klausa yang mengatakan: 'Jika anda memilih untuk tidak berbuat apa-apa, wang anda akan disimpan untuk keperluan penjagaan hari tua anda.

Tags / Kata Kunci: status negara tua , KWSP

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan