Bekas 'Ah Long' Terlepas Tali Gantung Kini Tauke Ais Krim

Diterbitkan: Jumaat, 24 Julai 2015 11:00 AM

Leong akan mula mengeksport ais krim perisa durian D24 ke China bulan depan. -foto THE STAR

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Sebagai seorang bekas 'Ah Long' yang nyaris menamatkan riwayatnya di tali gantung, Sam Leong  mampu memulakan kehidupan baharunya.

Ahli perniagaan berusia 42 tahun itu kini bahagia bersama isteri dan anak perempuannya sambil mengendalikan sebuah kilang ais krim.

Melihat dirinya sekarang, sukar untuk membayangkan Leong sebagai banduan yang pernah berdepan hukuman mati.

Ironinya, dia berkata: "Empat tahun itu adalah tahun-tahun terbaik dalam hidup saya."

Tempoh itu juga adalah tempoh di mana dia diperkenalkan kepada agama Kristian.

"Keseluruhan pengalaman dalam penjara membuatkan saya belajar banyak perkara mengenai kehidupan," kata Leong yang didakwa mengedar dadah pada tahun 2005.

Pada Disember 2008, Leong dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Leong mulanya mengupah salah seorang peguam jenayah terbaik untuk kes pengedaran dadahnya tetapi kakaknya memecat peguam yang dipilihnya dan memilih dua orang lagi peguam berpengalaman.

"Selepas pertemuan pertama saya dengan dua lelaki itu, masa 10 minit berjalan kaki balik ke sel saya adalah seperti satu perjalanan 10 tahun. Saya fikir saya akan mati," kata Leong yang berhenti sekolah menengah.

Dia telah diberi dua pilihan oleh peguambela.

Satu adalah tawaran mengaku bersalah dan tinggal di penjara selama 12 tahun. Satu lagi adalah meletakkan kepercayaan kepada peguam untuk menghujahkan kes ini untuknya.

"Lima minit sebelum perbicaraan bermula, salah seorang peguam saya menunjukkan jam tangannya dan berkata kepada saya 'anda masih mempunyai masa untuk menerima tawaran itu'. Saya kata tidak," kata Leong.

Yakin dia telah diperangkap bagi jenayah itu, Leong memenangi kes itu dan Timbalan Pendakwa Raya tidak membuat rayuan terhadap keputusan itu.

Walau bagaimanapun, apa yang boleh dilakukan oleh seorang yang bergelar 'Ah Long' selepas dibebaskan?

Peluang Leong datang apabila dia merasai ais krim tempatan yang diperbuat daripada durian di kampung halamannya di Ipoh.

"Ia adalah yang terbaik yang pernah saya makan. Tetapi tidak terkira berapa banyak saya merayu kepada pembuat ais krim untuk memulakan perniagaan dengan saya, dia tetap enggan," katanya.

Leong bagaimanapun berjaya memujuk pembuat ais krim itu untuk menjadi penasihat perniagaannya dalam percubaannya yang keempat.

Bulan depan, Leong akan mula mengeksport ais krim durian D24 ke China.

Mengimbas kembali apa yang dilaluinya, Leong berkata tidak menyesal.

"Ini semua sudah berlalu. Apa yang saya ada hari ini adalah kerana Tuhan. Kini tugas saya untuk membantu orang lain yang memerlukan."

Tags / Kata Kunci: Sam Leong , ais krim durian

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan