Penerbit Perlu Pastikan Tatabahasa Betul - Pakar Bahasa

Diterbitkan: Khamis, 23 Julai 2015 1:49 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Penerbit buku seharusnya bertanggungjawab memastikan aspek penggunaan tatabahasa yang betul bagi penghasilan buku latihan mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris untuk pelajar sekolah, kata pakar pendidikan.

Prof Madya Akademi Pengajian Bahasa Universiti Teknologi Mara, Dr Ramesh Nair berkata, buku yang berkualiti bergantung kepada ketepatan tatabahasa bagi mengelak kekeliruan dalam kalangan pelajar ketika mengulang kaji pelajaran sekali gus menjejaskan prestasi.

"Penggunaan bahasa itu penting dan jika penggunaan bahasa itu tidak tepat ia memberi gambaran kepada pelajar bahawa bahasa itu tidak sebegitu penting," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Khamis.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan mengenai dakwaan terdapat penggunaan tatabahasa bahasa Inggeris yang teruk dalam buku latihan mata pelajaran Sains dan Matematik untuk pelajar sekolah.

Laporan itu juga memetik seorang pengurus sebuah syarikat penerbitan yang mendakwa mereka hanya mengambil salinan penuh tanpa melakukan sebarang perubahan terhadap kertas peperiksaan tahun lepas yang dikeluarkan Lembaga Peperiksaan Malaysia untuk dijadikan sebagai kandungan buku latihan berkenaan. 

Nair yang merupakan pakar bahasa Inggeris berkata sekiranya dakwaaan itu benar, Kementerian Pendidikan perlu mengambil langkah proaktif menyelesaikan permasalahan itu supaya isu kesalahan tatababahasa berkenaan tidak berpanjangan.

Beliau berkata Kementerian Pendidikan sepatutnya menjaga kualiti tatabahasa buku latihan berkenaan supaya kredibiliti pembuat soalan daripada Lembaga Pepepriksaan Malaysia tidak dipertikaikan orang ramai.

"Mereka (Lembaga Peperiksaan Malaysia) harus mengenal pasti di mana silapnya.

"Kita sedar untuk menyediakan kertas peperiksaan ini amat rumit yang melibatkan pakar bahasa untuk membaca dan membetulkan ayat," katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Bahasa Inggeris Universiti Malaya Dr Sharifah Aishah Osman berkata Kementerian Pendidikan dan syarikat buku berkenaan harus bekerjasama tanpa menunding jari sesama mereka dalam usaha memperbaiki mutu bahasa buku latihan itu.

"Kedua-dua pihak bersalah di sini. Lembaga sepatutnya memastikan semua skrip yang dihantar telah disemak dari aspek ketepatan bentuk dan kandungan.

"Penerbit juga sepatutnya mengedit secara menyeluruh, namun kebanyakan syarikat ini beroperasi kerana ingin mengaut keuntungan serta memenuhi permintaan ibu bapa, natijahnya kualiti tidak dijaga," katanya.

Beliau juga berkata Lembaga Peperiksaan dan syarikat penerbitan buku boleh mendapatkan bantuan daripada pakar bahasa Inggeris daripada mana-mana institusi pengajian tinggi bagi menjamin kualiti bahasa.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan berkata Kementerian Pendidikan perlu menilai semula penerbitan buku latihan itu untuk memastikan sama ada benar kandungannya terdapat kesalahan tatabahasa yang teruk.

"Jika benar soalan ini diambil bulat-bulat daripada kertas peperiksaan daripada Lembaga Peperiksaan, pihak Lembaga Peperiksaan harus beri penjelasan  tentang hal ini kerana kita tidak boleh terima kenyataan ini bulat-bulat dari apa yang diperkatakan oleh penerbit tersebut," katanya.-- Bernama



iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan