"Saya Muflis" - Ramesh Rao

Diterbitkan: Khamis, 23 Julai 2015 4:43 PM

Ramesh Rao.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin, Ramesh Rao mengakui dirinya diisytiharkan muflis tetapi menjelaskan bahawa beliau tidak dibiayai oleh mana-mana parti berhubung tindakannya terhadap Sarawak Report.

"Saya masih lagi muflis, bukti saya tidak menerima sebarang imbuhan daripada Barisan Nasional," katanya menerusi akaun Twitternya pada Khamis.

Ramesh berkata, tindakannya terhadap Sarawak Report merupakan perjuangannya demi negara dan rakyat.

Beliau berkata demikian bagi memberi penjelasan kepada pengguna Twitter yang memuat naik paparan skrin mengenai status kewangan daripada Jabatan Insolvensi.

Dokumen itu menunjukkan Ramesh diisytiharkan bankrap pada 24 Mei 2012.

Beliau turut membidas terhadap kritikan salah seorang daripada merupakan bekas pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan kini adalah Setiausaha Agung Parti Generasi Baru, S. Gobi Krishnan dengan mengatakan bahawa muflis bukan satu jenayah.

"Saya bukan penjenayah. Saya tidak pernah menipu sesiapa," katanya, sambil menambah bahawa beliau berusaha melunaskan bayaran sejak 2013.

Ramesh membuat laporan polis terhadap pengasas Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown pada 15 Julai lalu.

Beliau turut menyerahkan satu video dan emel kepada pihak polis sebagai sokongan kepada dakwaan terhadap Rewcastle-Brown selepas bekas pengarang Sarawak Tribune, Lester Melanyi membuat pengakuan bahawa beliau telah memalsukan maklumat mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada laman web Sarawak Report.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan