Pengeluar Belum Dapat Selesai Masalah Brek Tren - Prasarana

Diterbitkan: Khamis, 23 Julai 2015 6:03 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pengarah Urusan Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Datuk Azmi Abdul Aziz kecewa kerana pengeluar tren Aliran Transit Ringan (LRT) dan pengeluar breknya masih gagal menyelesaikan masalah brek tren sejak Februari lepas.

Beliau berkata, insiden pada Khamis yang melibatkan gangguan perjalanan dua buah tren bagi Laluan Kelana Jaya di Stesen Setiawangsa dan Stesen Universiti merupakan kejadian kali keenam setakat ini tahun ini.

Kejadian sebelum ini berlaku pada 11 Februari, 25 Febeuari, 18 Mac dan 28 Mac.

Pengeluar tren ialah Bombardier-Hartasuma dari Kanada sementara pengeluar brek Knorr Brake Company dari Jerman.

Beliau berkata, pihaknya telah memaklumkan mengenai kegagalan sistem brek dalam empat kejadian sebelum ini kepada kedua-dua pihak berkenaan.

"Saya memang kecewa dengan tindak balas yang kita dapat daripada mereka yang kurang memuaskan. Sebaik kejadian semalam, kita sudah memberi notis keras kepada kedua-dua syarikat itu dan saya harap mereka dapat menyelesaikan isu ini dengan segera," kata Azmi kepada Bernama.

Beliau berkata, beliau akan bertemu kedua-dua syarikat pada Khamis bagi menyelesaikan isu berbangkit.

Kejadian pada Rabu mengakibatkan kedua-dua tren empat gerabak itu diselubungi asap tebal dan penumpang terpaksa meneruskan perjalanan dengan tren lain.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang turut prihatin dengan kejadian tersebut telah mengarahkan Prasarana melakukan audit keselamatan terhadap perkhidmatan LRT mereka.

Azmi menjelaskan Prasarana sememangnya sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan keselamatan penumpang.

Pemeriksaan keselamatan sistem brek ke atas 70 tren Laluan Kelana Jaya dilakukan sekali seminggu sementara pemeriksaan besar-besaran dilakukan sebulan sekali.

Prasarana turut melakukan pemeriksaan khas ke atas tren-trenya, katanya. 

"Kita mempunyai pasukan teknikal untuk melihat masalah yang dialami oleh tren-tren tersebut dan pihak Prasarana dan juga Rapid Rail tidak pernah mengambil langkah-langkah yang akan mengkompromi keselamatan sistem dan juga keselamatan orang ramai," tegasnya. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: LRT , Prasarana

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan