Zakat Melalui Potong Gaji Dapat Sambutan Menggalakkan

Diterbitkan: Ahad, 19 Julai 2015 12:25 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pembayaran zakat pendapatan menerusi kaedah potongan gaji atau dinamakan Skim Thohir semakin mendapat sambutan amat menggalakkan dalam kalangan umat Islam yang bekerja di Wilayah Persekutuan.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-Maiwp) Mohd Rais Alias berkata ini kerana kutipan zakat pendapatan meningkat setiap tahun dan ia menyumbang kutipan zakat tertinggi di PPZ-Maiwp berbanding zakat lain.

"Ini menunjukkan kesedaran telah wujud dalam kalangan umum terutama pembayar zakat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Mohd Rais berkata pekerja swasta turut memilih membayar zakat pendapatan melalui pemotongan gaji dengan nilai sumbangan yang tinggi berbanding penjawat awam.

"Daripada segi bilangan pekerja swasta dan penjawat awam membuat potongan gaji untuk zakat pendapatan tidak nampak banyak beza tetapi yang menyumbang (nilai) lebih banyak kepada kutipan dalam setahun adalah daripada pekerja swasta," katanya.

Beliau berkata, keadaan itu berkemungkinan kerana gaji bulanan pekerja swasta lebih tinggi berbanding penjawat awam sekali gus membolehkan mereka membuat potongan banyak untuk zakat pendapatan.

Mengulas lanjut mengenai zakat pendapatan, Mohd Rais berkata secara umumnya terdapat dua kaedah yang digunakan PPZ-Maiwp untuk membuat pengiraan bagi bayaran zakat pendapatan dengan kadar zakat sebanyak 2.5 peratus.

Katanya, kaedah pertama ialah mengira zakat pendapatan atas pendapatan kasar dan kaedah kedua pula ialah zakat pendapatan dikira atas pendapatan bersih.

"Bagi kaedah pertama zakat pendapatan dikira atas semua sumber pendapatan dalam setahun dan pendapatan tersebut perlulah bersamaan atau melebihi nisab, manakala kaedah kedua pula jumlah pendapatan kasar setahun ditolak perbelanjaan yang dibenarkan setahun.

"Sekiranya pendapatan bersih bersamaan atau melebihi nisab, kadar zakat 2.5 peratus dikenakan atas pendapatan tersebut. Nisab adalah paras minimum yang menentukan sama ada sesuatu harta diwajibkan zakat dan nisab bersamaan dengan berat 85 gram nilai emas semasa. Nilai nisab di Wilayah Persekutuan bagi 2015 ialah sebanyak RM11,308," katanya.

Beliau berkata, tolakan tanggungan perbelanjaan boleh dibuat dalam pengiraan zakat pendapatan itu namun bagi tanggungan anak-anak pula hanya dibenarkan bagi lelaki yang berkahwin, wanita yang menanggung perbelanjaan anak-anak (suami tidak bekerja) atau ibu tunggal.

Mohd Rais berkata zakat pendapatan adalah zakat yang dikenakan ke atas perolehan sama ada sumber gaji dan juga pendapatan daripada sumber lain yang merangkumi tunggakan gaji, pelbagai elaun antaranya elaun kenderaan dan makan, royalti, sewa rumah dan bonus.

Sehubungan itu, beliau berkata kewajipan menunaikan zakat pendapatan ini bukan hanya terhad kepada pekerja makan gaji semata-mata tetapi pesara juga wajib membayar zakat pendapatan itu sekiranya jumlah wang pencen tahunan melebihi nilai nisab berkenaan.

"Kadang-kadang kalau pencen pun ada juga harta lain yang golongan pesara ada misalnya ada menyimpan jongkong emas mahupun ada sewaan rumah. Jadi kalau melebihi nisab memang wajib bayar zakat pendapatan ini," katanya.

Bagi mendapatkan perkhidmatan Skim Thohir ini, orang ramai boleh menghubungi Talian Zakat 1-300-88-5757. -- Bernama

Tags / Kata Kunci: zakat , Maiwp , PPZ

iklan

Video

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Kolumnis

iklan

Iklan