Tiada Kegembiraan Dalam Raya Rohingya Di Malaysia

Diterbitkan: Sabtu, 18 Julai 2015 10:46 AM

Anwar (tiga dari kanan) dan Nurul (kanan) bersama dengan beberapa pelarian Rohingya di surau Al-Islamiah.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Hari Raya Aidilfitri sepatutnya menjadi hari untuk bergembira buat umat Islam tetapi berlainan pula dengan masyarakat Rohingya di Malaysia.

Sebaliknya, ramai di antara mereka menitiskan air mata apabila terkenangkan keluarga di Myanmar.

"Bagaimana kami boleh bergembira? Kami hanya memikirkan masa lampau kami. Kami tidak boleh gembira hidup dalam buangan," kata Mohammad Sadek, penyelaras program jawatankuasa pelarian Rohingya Arakan (RARC).

Sadek, 43, berada di Malaysia hampir lapan tahun.

Dia mempunyai empat orang anak berusia antara setahun hingga enam tahun, kesemuanya dilahirkan di sini.

Anak keduanya, Mubarak Hussain merupakan 'anak merdeka' kerana dilahirkan pada sambutan Kemerdekaan.

"Pagi ini, semua menangis memikirkan keluarga kami di Burma," katanya ketika ditemui di Surau Al-Islamiah di Kampung Tasik Permai, Ampang sebelum menunaikan solat Jumaat.

Sadek (kiri) bersama dua anaknya dan Anwar (kanan).

Ibu bapanya berada di kem pelarian di Bangladesh manakala adik beradiknya masih di Myanmar.

Berkongsi nasib yang sama, Nurul Amin, 65, yang meninggalkan Myanmar kira-kira 20 tahun lalu kerana isu tanah berkata dia tidak dapat merasai nikmat kegembiraan walaupun seminit.

Keluarganya termasuk tiga anaknya berusia 25 hingga 30 tahun kembali ke tanah air.

"Saya tidak menemui kegembiraan di sini. Saya merindui keluarga saya. Jika saya diberikan peluang saya mahu pulang bertemu mereka," kata Nurul kepada The Star Online.

Nasib masyarakat Rohingya menjadi tajuk utama akhbar pada Mei lalu selepas ribuan daripada mereka ditemui terkandas di dalam sebuah bot penyeludup di Laut Andaman dan Selat Melaka.

Mereka ditinggalkan di tengah lautan berikutan tindakan keras pihak berkuasa untuk membanteras kegiatan penyeludupan manusia.

Ini membawa kepada penemuan kem penyeludupan manusia di sempadan Thailand dan Malaysia.

Masyarakat Rohingya majoritinya beragama Islam dan mendakwa sering ditindas kerajaan Myanmar.

Mereka dianggap tiada negara dan sering menjadi mangsa penindasan dan buruh paksa.

Namun, mereka yang berada di Malaysia masih sukar untuk meneruskan kehidupan.

Jika bernasib baik, mereka mampu melakukan kerja tidak formal dengan menerima gaji kasar.

Nurul berkata, dia tidak boleh mendapatkan rawatan untuk pelbagai masalah kesihatan yang dihidapinya walaupun mempunyai status pelarian yang sah.

"Saya perlu bergantung kepada komuniti untuk membantu saya membayar sewa rumah dan makanan," kata Nurul.

Sehingga April lalu, terdapat hampir 46,000 masyarakat Rohingya berdaftar dengan Pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) di negara ini.
Tags / Kata Kunci: Adilfitri , Rohingya

iklan

Video

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Isnin, 16 Oktober 2017 2:00 PM

Jom Santai Bersama Ruhainies Dan Tajul!

Isnin, 16 Oktober 2017 1:17 PM

Macam Mana Boleh Tersepit?

Isnin, 16 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Haters Maki Tajul Di Instagram!

Kolumnis

iklan

Iklan