14 Keluarga Di Aring Reda Sambut Aidilfitri Dalam Khemah

Diterbitkan: Jumaat, 17 Julai 2015 4:35 PM

Gambar hiasan.

(Ubah saiz teks)

GUA MUSANG: Sebanyak 14 keluarga membabitkan 36 mangsa banjir termasuk dua beranak lumpuh di Kampung Aring 2 di sini, reda menyambut 1 Syawal dalam khemah berikutan rumah kekal yang dibina kerajaan Persekutuan mahupun negeri masih belum siap.

Antara yang terbabit adalah Salimah Abdullah, 65, yang berkata beliau tidak memikirkan sangat mengenai rumah kekal itu dan telah bersedia dengan apa jua keadaan walaupun terpaksa menyambut Hari Raya dalam khemah yang tidak sempurna.

Beliau mengakui suaminya, Husin Ali, 60, dan anak lelakinya, Azman Husin, 38, yang lumpuh akibat angin ahmar tetap ceria tinggal di khemah walaupun kedua-dua anggota keluarganya itu menghadapi masalah untuk bergerak termasuk ke tandas dan bilik air.

"Makcik yang menguruskan kedua-dua beranak itu dan tetap reda dengan ketentuan Allah mengenai masalah yang dihadapi dan makcik tetap bersabar menunggu rumah kekal siap dibina kerajaan nanti.

"Makcik sekeluarga sehingga ke hari ini masih belum dapat melupakan kejadian banjir besar akhir Disember lepas hingga menghanyutkan rumah, tetapi makcik bersyukur suami dan anak yang lumpuh dapat diselamatkan dalam kejadian itu," katanya ketika ditemui Bernama di Kampung Aring 2, pada Khamis.

Husin pula berkata beliau tidak mendesak kerajaan bagi mempercepatkan pembinaan penempatan baharu itu kerana sedar penempatan selama ini di kawasan tanah rizab FELDA itu hanya diberi kebenaran sementara.

Bagi beliau keceriaan menyambut Aidilfitri seperti biasa kerana tinggal di khemah juga seperti rumah sendiri walaupun serba kekurangan.

"Kami mangsa banjir tetap mengamalkan budaya kunjung-mengunjung untuk bersalaman dan menjamu kuih muih raya sekadar yang termampu disediakan," katanya.

Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh Datuk Nozula Mat Diah yang melawat kampung terbabit meminta penduduk bersabar berikutan kelewatan kerajaan untuk membina rumah kekal itu.

Beliau berkata walaupun kerajaan negeri gagal menyediakan tapak bagi pembinaan rumah, FELDA telah meluluskan kawasan seluas 1.2 hektar untuk pembinaan rumah kekal itu kepada 14 keluarga mangsa banjir terbabit.

Beliau turut menyatakan rasa kesal kerana ada segelintir pemimpin parti pembangkang yang datang menghasut mangsa banjir supaya membenci kerajaan Persekutuan berikutan kegagalan membina rumah kekal untuk mereka.

"Kenyataan yang menyebut 200 mangsa banjir hidup terpinggir di kampung itu juga tidak benar kerana kita telah buat senarai mangsa banjir. Hanya 34 orang dari 14 keluarga yang tiada tempat sempurna untuk berteduh," katanya.

Tags / Kata Kunci: Aring , Gua Musang

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan