1MDB: Video Komplot Burukkan Najib Diserah Kepada Polis

Diterbitkan: Khamis, 16 Julai 2015 7:00 AM

(Ubah saiz teks)

DIKEMASKINI

PUTRAJAYA: Satu video yang mendedahkan komplot beberapa pemimpin pembangkang dan pengendali laman web Sarawak Report bagi memburukkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak diserahkan kepada polis pada Rabu.

Video pengakuan bekas editor Sarawak Report yang diserahkan seorang warga tempatan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya itu antara lain, mendakwa wujud niat jahat oleh pihak berkepentingan untuk melunaskan sebuah misi bergelar 'Mission to criminalise Datuk Seri Najib Tun Razak dan 1MDB'.

Ketika mendedahkan perkara itu, Pengarah Strategik Barisan Nasional Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata kandungan laporan itu telah dimaklumkan kepada beliau oleh pengadu berkenaan selepas membuat laporan polis pagi Rabu.

Beliau memberitahu sidang media di sini laporan polis itu mendakwa Claire Rewcastle Brown yang juga pengendali laman web Sarawak Report telah melakukan pemalsuan fakta berkaitan isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Najib dan isu yang berkait rapat dengan 1MDB.

"Saya difahamkan pengadu turut mengemukakan sebuah video membabitkan pengakuan bekas editor itu yang terlibat secara langsung dalam perbuatan memalsukan fakta, penerbitan dan penyebaran fakta palsu di laman web Sarawak Report.

"Saya sendiri telah menyaksikan video itu dan amat terkejut dengan pendedahan yang dibuat yang mana antara lain individu yang membuat pengakuan menyebut beberapa nama pemimpin pembangkang turut terlibat bekerjasama dengan Claire Brown," katanya.

Abdul Rahman, yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, berkata beliau dimaklumkan bahawa pengadu turut menyerahkan sesalinan email kepada polis yang dipercayai telah ditulis oleh Claire Brown.

Antara isi kandungan email yang bertarikh 1 Mac 2015 tersebut, Claire Brown didakwa menulis: "Thanks! Yes it was quite a job!...sitting up night after night cleverly 'forging' all those documents!!!".

Abdul Rahman berkata walaupun tidak dipastikan apa yang dimaksudkan oleh Claire Brown, namun pihak Interpol, polis United Kingdom serta Polis Diraja Malaysia diharapkan dapat menyiasat apa yang dimaksudkan memandangkan ramai pihak meragui Claire Brown dan laporan Sarawak Report memalsukan fakta.

Katanya, beliau telah dimaklumkan bahawa individu-individu warga British yang dinamakan dalam video pengakuan tersebut hanya akan memberi keterangan jika ada penyiasatan rasmi oleh pihak berkuasa United Kingdom.

Abdul Rahman berkata beliau meminta polis melakukan siasatan segera dan profesional kerana tuduhan seperti dipaparkan dalam video sangat berat dan substantif.

"Bagi membolehkan individu-individu yang dinamakan dalam video pengakuan itu dapat disoal siasat, saya mohon pihak polis untuk segera menghubungi rakan sejawat mereka dalam Interpol dan polis United Kingdom kerana kita khuatir jika lambat bukti-bukti lain yang ada pada mereka dialih atau dimusnahkan," katanya.
Tags / Kata Kunci: Datuk Abdul Rahman Dahlan , 1MDB

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan