Rafizi Nafi Terlibat Dalam Plot Burukkan Nama Najib

Diterbitkan: Khamis, 16 Julai 2015 5:51 PM

Rafizi Ramli

Rafizi Ramli

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Naib Presiden PKR Rafizi Ramli menafikan terlibat dalam plot untuk memalsukan dokumen 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dengan tujuan mencemar nama Perdana Menteri.

Beliau berkata laporan polis yang dibuat dengan menuduh beliau dan beberapa pemimpin pembangkang lain bersubahat dengan Sarawak Report untuk memburuk-burukkan Datuk Seri Najib Tun Razak hanyalah satu percubaan untuk menutup isu 1MDB.

Laporan polis tersebut dibuat oleh Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) Ramesh Rao, bersama pengakuan oleh seorang yang bernama Lester Melanyi, yang mendakwa dirinya pernah bekerja untuk Sarawak Report dan merupakan sebahagian daripada plot yang mengaitkan Najib dengan jenayah melalui 1MDB.

Walau bagaimanapun, Rafizi sekeras-kerasnya menafikan pernah berjumpa atau mengenali Melanyi.

Beliau juga menafikan pernah berkerjasama dengan Sarawak Report bagi merosakkan kredibiliti Najib.

"Saya tidak pernah memberikan arahan kepada Sarawak Report terhadap dasar editorial itu, dan tidak pernah memberikan mereka bahan untuk disiarkan.

"Semua isu-isu tentang 1MDB yang saya bangkitkan berasal daripada laporan berita tempatan dan antarabangsa, serta jawapan yang diberikan kepada saya oleh Kementerian Kewangan di Parlimen," katanya dalam satu kenyataan, Khamis.

Rafizi berkata, sidang akhbar oleh Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN) Datuk Abdul Rahman Dahlan pada Rabu yang menggunakan laporan polis untuk mengaitkan beliau dan beberapa ahli politik lain adalah satu 'konspirasi jahat' yang direka untuk menutup skandal 1MDB dengan mengaitkannya dengan pembangkang.

"Saya yakin konspirasi ini tidak akan berjaya kerana skandal 1MDB ini sangat besar dan fakta kes ini adalah terlalu jelas untuk isu itu dibiarkan dengan begitu mudah.

"Saya tertanya-tanya jika seterusnya Datuk Rahman Dahlan akan mendedahkan pula bahawa saya dengan cara tertentu telah mengarahkan Wall Street Journal untuk melaporkan mengenai 1MDB," kata Ahli Parlimen Pandan itu.

Rafizi menambah beliau akan memikirkan tindakan undang-undang terhadap Rao dan beberapa individu lain atas dakwaan mereka.

Video pengakuan oleh Lester telah dimuat naik ke YouTube pada Rabu, di mana beliau mendedahkan pernah bekerja dengan editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown dan mengetahui tentang plot untuk memalsukan dokumen 1MDB.

Dia juga mendakwa hadir dalam pertemuan antara Brown dan pemimpin tertinggi pembangkang di London, lokasi di mana plot yang didakwa telah dibincangkan.

iklan

Video

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Isnin, 16 Oktober 2017 2:00 PM

Jom Santai Bersama Ruhainies Dan Tajul!

Isnin, 16 Oktober 2017 1:17 PM

Macam Mana Boleh Tersepit?

Isnin, 16 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Haters Maki Tajul Di Instagram!

Jumaat, 13 Oktober 2017 2:30 PM

Ruhainies Bersedia Untuk Berkeluarga

Kolumnis

iklan

Iklan