FTA Malaysia-Turki Berkuatkuasa 1 Ogos

Diterbitkan: Khamis, 16 Julai 2015 9:25 AM

Mustapa Mohamed.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Turki (MTFTA) akan berkuat kuasa pada 1 Ogos, 2015, demikian diumumkan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

"Negara Turki, dengan populasi seramai 74 juta orang, menawarkan peluang akses pasaran yang besar. Saya menggesa komuniti perniagaan Malaysia memanfaatkan sepenuhnya peluang yang ditawarkan di bawah FTA ini, yang juga akan  mengukuhkan perdagangan dua hala dan jaringan ekonomi dalam jangka masa panjang," kata Mustapa dalam kenyataan pada Rabu.

Melalui perjanjian ini, pengeksport dari Malaysia dan Turki akan dapat menikmati akses keutamaan untuk produk di negara masing-masing.

"Kedua-dua negara akan menghapuskan duti import secara kekal ke atas 70 peratus barisan tarif, apabila perjanjian ini dikuatkuasakan. Duti juga akan dikurangkan atau dihapuskan ke atas hampir 86 peratus barisan tarif dalam tempoh lapan tahun akan datang," katanya.

Pada 2014, jumlah perdagangan antara Malaysia dan Turki bernilai US$969 juta.

Eksport Malaysia ke Turki berjumlah US$752 juta, manakala import sebanyak US$217 juta.

Eksport utama ke Turki terdiri daripada tekstil dan pakaian, kimia dan produk kimia, minyak sawit, barangan buatan logam, produk getah, produk elektrik dan elektronik. 

Manakala import dari Turki termasuk tekstil dan pakaian, barangan kejenteraan dan alat ganti, produk besi dan keluli, produk kimia, produk pertanian serta produk elektrik dan elektronik.

"Eksport Malaysia yang akan meraih manfaat daripada penghapusan duti secara serta-merta di Turki meliputi produk terpilih tekstil dan pakaian, produk elektrik dan elektronik, produk besi dan keluli, produk jentera, produk kayu kayan, barangan kulit dan semua produk getah," kata Mustapa yang menggesa peniaga Malaysia dalam sektor itu meningkatkan eksport mereka ke Turki.

Bagi produk strategik lain, termasuk produk besi dan keluli, kedua-dua negara akan menghapuskan duti import secara berperingkat dalam tempoh lapan tahun, bermula dari tarikh kuat kuasa perjanjian tersebut.

Turki juga akan menghapuskan semua duti tambahan kastam sedia ada (dari 20 peratus hingga 30 peratus) ke atas tekstil, pakaian dan kasut, yang melibatkan lebih 1,000 barisan tarif.

Bagi produk berasaskan minyak sawit, Turki menawarkan pengurangan duti secara 'one-off' sebanyak 30 peratus daripada kadar duti biasa (0-46.8 peratus).

"Pengurangan duti ke atas produk ini penting untuk mengukuhkan daya saing produk minyak sawit Malaysia dalam pasaran Turki," kata Mustapa.

Perjanjian tersebut akhirnya akan berkuat kuasa selepas hampir empat tahun rundingan oleh kedua-dua negara yang bermula pada Mei 2010.

Perjanjian itu terlebih dahulu memberi tumpuan kepada perdagangan barangan yang kemudiannya diperluaskan kepada sektor pelaburan dan perkhidmatan.

Mustapa berkata lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Turki pada April 2014 telah merealisasikan pemeteraian perjanjian itu pada 17 April, 2014.

Beliau berkata FTA dengan Turki merupakan perjanjian perdagangan bebas ke-13 yang dipersetujui oleh Malaysia.

Pada masa ini, Malaysia melaksanakan enam perjanjian perdagangan bebas serantau dan enam perjanjian perdagangan bebas dua hala meliputi negara-negara ASEAN, China, Jepun, India, Australia, New Zealand, Pakistan dan Chile.

Semasa pemeteraian MTFTA pada April 2014, kedua-dua Perdana Menteri Malaysia dan Turki telah meletakkan sasaran untuk mencapai jumlah dagangan sebanyak USD$5 bilion menjelang 2020.

Pelaksanaan MTFTA dijangka mendorong ke arah pencapaian sasaran tersebut.

Teks penuh Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Turki, dengan jadual komitmen barangan, boleh didapati di laman sesawang MITI, www.miti.gov.my. 

Tags / Kata Kunci: MTFTA , Mustapa Mohamed , MITI

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan