MH17: Asmaa Temui Kekuatan Dalam Diri Abderrahman

Diterbitkan: Khamis, 16 Julai 2015 2:50 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Setahun berlalu, isteri dan anak lelaki kru teknikal pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17, Allahyarham Ahmad Hakimi Hanapi tidak dapat dipisahkan.

Asmaa Aljuned, 28, dan Abderrahman kini bergantung antara satu sama lain untuk menghadapi kesukaran hidup berikutan kematian Hakimi atau lebih mesra disapa sebagai Kimi.

Sentiasa berusaha untuk memberikan yang terbaik untuk anak lelakinya, Asmaa mengusahakan francais Boost Juice di D'Pulze, Cyberjaya sejak sembilan bulan lalu.

Walaupun Asmaa menguruskan kiosk itu, Abderrahman sering dilihat turut berada di sana menikmati sepinggan beri biru, makanan kegemarannya.

“Alhamdulillah, bisnes begitu baik. Saya percaya konsep idea minuman segar, sihat dan cepat sesuai untuk golongan bekerja. Lebih mudah buat mereka untuk mendapatkan segelas jus atau smoothie sebelum pergi ke tempat kerja," katanya.

Walaupun masih menguruskan rumah yang dikongsi bersama dengan suaminya di Damansara, Asmaa memutuskan untuk menyewa unit kondo kecil di Cyberjaya kerana ia dekat dengan tempat kerjanya.

"Saya tidak pergi ke rumah (Damansara) untuk sementara waktu. Sebab utama adalah kerana lokasi, ia agak jauh dari Cyberjaya. Keduanya, terdapat banyak memori di dalam rumah itu.

"Kimi dan saya membeli rumah tersebut dan menghiasinya. Di dalam rumah itu masih ada baju, pejabatnya dan segalanya ada di sana.

"Apabila anda mempunyai keluarga dan anak, anda bayangkan bahawa rumah itu akan menjadi masa depan anda. Berada di dalam rumah itu mengingatkan saya tentang mimpi yang tidak akan menjadi kenyataan.

"Jadi saya perlu pergi. Ia bukan melarikan diri tetapi saya perlu melangkah ke hadapan. Ada banyak perkara perlu dilakukan dan saya tidak mampu mengawal emosi, jadi saya fikirkan bahawa jalan terbaik adalah keluar dari rumah itu," katanya.

Namun, Asmaa berazam untuk terus menjaga rumah tersebut dan memori Hakimi di dalamnya sebagai satu cara untuk Abderrahman untuk mengenali bapanya di kemudian hari.

"Saya masih perlu menjaga rumah itu kerana ia hak Abderrahman. Dia perlu mengetahui barang-barang kepunyaan bapanya.

"Saya tidak akan membuang apa sahaja tetapi saya fikir perlu mengambil sedikit masa untuk membina kehidupan saya dan tidak dibelenggu emosi," katanya.

Berdepan dengan tragedi itu amat sukar untuk Asmaa.

Namun, Abderahman menjadi sumber kekuatan dalam kehidupannya.

Dalam kejadian beberapa minggu lalu, Abderrahman mengajar beliau satu keindahan di sebalik kehilangan dari perspektif kanak-kanak.

"Saya pergi ke tempat kerja dan saya membawa Abderrahman keluar dari rumah dan masuk ke dalam kereta. Ketika kami berjalan, sebuah kapal terbang lalu dan dia memanggil 'Mama, mama!," kata Asmaa.

Abderahman menunjuk ke arah kapal terbang itu dan berteriak,"Dada, dada!.

"Dia masih ingat. Dia masih mempunyai kenangan. Saya fikir kanak-kanak tidak memahami erti kematian atau kehilangan.

"Malah jika mereka tahu, saya tidak pasti bagaimana mereka menilainya. Namun Abderrahman adalah bayi yang bahagia. Kapal terbang itu mengingatkannya dengan bapanya, seorang yang amat rapat dengan dirinya tetapi tidak lagi disisinya.

"Dia positif mengenainya. Dia tersenyum dan ketawa. Ia berbeza dengan kita yang dewasa ini.

"Bagi kita, apabila kita ada memori orang tersayang yang sudah tiada, ia akan membuatkan kita sedih dan ingin mengeluarkan air mata.

"Ia berbeza bagi kanak-kanak. Dia hanya ingat memori yang indah, walaupun dia tahu individu tersebut tiada lagi di sisinya.

"Kehilangan itu tidak memberi kesan negatif, sebaliknya ia memberi kesan secara positif kepada Abderrahman. Dia amat gembira bersama memori bapanya. Terdapat banyak perkara yang saya belajar daripada seorang anak kecil.

"Jika Abderrahman boleh gembira dengan memori bapanya walaupun dia tahu Hakimi sudah tiada, mengapa saya tidak boleh melakukan perkara sama?

"Suami saya mempunyai hati yang baik. Dia bekerja keras untuk menggembirakan kami, jadi saya memutuskan untuk tidak akan menangis lagi. Saya akan menikmati segala memori, tersenyum setiap masa apabila teringatkannya dan itu banyak membantu. Dan terima kasih kepada Abderrahman kerana menunjukkan saya mengenai perkara itu," katanya.

Semasa masih bersama suatu ketika dahulu, Asmaa berkata Hakimi akan sentiasa memberikan nasihat yang baik kepada keluarganya.

Antara nasihat Hakimi yang sering disimpan di dalam hati Asmaa adalah jangan meninggalkan solat.

"Dia banyak menasihati saya. Sebagai contoh, jangan meninggalkan solat. Tidak kira dalam keadaan sukar atau sesibuk mana ada, sentiasa luangkan masa untuk solat dan Allah akan bersama anda.

"Kadang kala, saya hanya sibuk melakukan banyak perkara dan saya akan lupa, tetapi kemudiannya nasihat ini akan hadir dalam fikiran saya.

"Nasihat beliau, cara kehidupannya sentiasa bersama saya. Kehadiran beliau sentiasa dirasai kerana dia amat dekat dengan saya.

"Walaupun usia perkahwinan baharu sahaja berusia tiga tahun, saya percaya saya mempunyai kenangan yang terindah. Ia akan kekal seumur hidup saya," katanya.

Pesawat MH17 terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai 2014 selepas dipercayai ditembak jatuh oleh kumpulan pemberontak pro Rusia.

Kesemua 283 penumpang dan 15 anak kapal yang berada di dalam pesawat itu terbunuh.



iklan

Kolumnis

iklan

Iklan