PMO Nafi Laporan Media Australia Dakwa Skandal Rasuah Kaitkan Najib

Diterbitkan: Rabu, 15 Julai 2015 12:57 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada Rabu menafikan laporan dua media Australia yang mengaitkan Datuk Seri Najib Tun Razak dengan skandal rasuah yang menyifatkan ia sebagai dakwaan tidak berasas dan berniat jahat.

PMO dalam satu kenyataan pada Rabu berkata, artikel yang diterbitkan dalam The Age dan Sydney Morning Herald merupakan cubaan terdesak untuk mengaitkan tugas Najib semasa beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri dengan dakwaan salah laku orang tengah.

"Walaupun tidak mengandungi sebarang dakwaan secara langsung mengenai Perdana Menteri, tetapi artikel itu cuba mengelirukan dan membayangkan Najib terlibat dalam kes yang telah diputuskan oleh mahkamah," katanya dalam satu kenyataan.

Laporan bertajuk “Bribery scandal linked to Malaysian Prime Minister Najib Razak” disiarkan The Age dan Sydney Morning Herald, akhbar dimiliki Fairfax Media Group di Australia yang disiarkan pada Selasa.

Menurut PMO, aritikel itu "sengaja mengelirukan, fitnah dan berniat jahat," katanya sambil menambah bahawa Najib telah mengarahkan khidmat guamannya untuk mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap dua dakwaan yang dibuat media berkenaan.

Ia berkata, daripada membekalkan bukti yang mengaitkan Perdana Menteri dengan kes ini, artikel berkenaan menggunakan perkataan-perkataan berbentuk licik dan tidak konklusif seperti disyaki, didakwa dan dicadangkan untuk mendorong pembaca berfikir bahawa Perdana Menteri adalah bersalah.

Akhbar itu dalam laporannya pada Selasa mendakwa Malaysia menyekat permohonan pihak berkuasa Australia untuk mendapatkan maklumat berhubung skandal rasuah yang mungkin melibatkan Perdana Menteri.

Permohonan rasmi itu yang dikatakan dibuat menerusi Jabatan Peguam Negara Komanwel bagaimanapun didakwa tidak diendahkan pihak berkuasa Malaysia.

Artikel itu melaporkan bahawa terdapat individu yang didakwa terbabit dalam skandal rasuah, menyebabkan pendakwaan terhadap beberapa ahli perniagaan warga Australia yang bekerja dengan dua Bank Rezab Australia (RBA), diteruskan.

Skandal RBA itu mengenai dakwaan pegawai Malaysia yang didakwa disogok oleh dua syarikat itu bagi memperoleh kontrak menukar wang kertas kepada polimer di antara 1999 sehingga 2009.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan