Plaza Low Yat Kembali Tenang

Diterbitkan: Isnin, 13 Julai 2015 2:02 PM

Suasana kembali tenang di Plaza Low Yat.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Suasana kembali tenang di Plaza Low Yat namun ada sebahagian pemilik kedai enggan membuka premis mereka walaupun pihak pengurusan pusat beli belah tersebut telah meminta mereka membuka perniagaan seperti biasa. 

Lima termasuk, dua jurugambar dan seorang pemberita cedera sementara tiga lagi ditahan kerana terlibat dalam rusuhan yang berlaku di pusat beli belah berkenaan pada tengah malam Ahad. 

Pusat beli belah yang terletak di Jalan Bukit Bintang itu merupakan 'syurga' untuk mendapatkan gajet digital, dibuka seperti biasa pada pukul 10 pagi Isnin. 

Kebanyakan restauran, kedai IT dan telefon pintar dibuka seperti biasa dengan pekerja kedai dilihat sedang sibuk menyusun produk di kaunter. 

Bagaimanapun, terdapat beberapa premis masih ditutup atas faktor keselamatan, dan ketika ditanya mengenainya, pekerja kedai tersebut enggan mengulas lanjut. 

Seorang jurujual yang hanya mahu dikenali sebagai Sue turut berada di tempat kejadian ketika insiden malang itu berlaku berkata dia agak takut namun majikannya meminta dia supaya 'bertenang dan bekerja seperti biasa'. 

"Kami diarah supaya membuka kedai walaupun terdapat ancaman yang tinggi di tingkat bawah. Selepas menyaksikan kejadian tersebut, saya sangat takut, namun bos saya memberitahu supaya kami bersabar dan meminta kami melayan pelanggan seperti biasa," kata Sue yang telah bekerja di Plaza Low Yat selama sembilan bulan.

Seorang pekerja warga Myanmar yang hanya mahu dikenali sebagai Alli berkata dia tidak takut namun pada tengah hari Isnin, majikannya menyuruh dia menutup kedai. 

"Saya tidak takut kerana saya tidak melakukan sebarang kesalahan, saya hanya bekerja di sini. 

"Apa yang berlaku semalam sepatutnya dilupakan. Kita perlu teruskan kerja seperti biasa," katanya. 

Seorang pemilik restoran Mohd Hijrah Raj berkata perniagaannya agak terjejas sejak dua hari yang lalu dan berharap ia akan kembali seperti biasa. 

"Bagi saya ini masalah kecil sahaja. Semuanya berlaku disebabkan oleh telefon bimbit. 

"Suasana agak tegang semalam. Kami semua risau. Namun kini keadaan kembali tenang seperti biasa. Saya sangat gembira kerana dapat membuka restauran seperti biasa," kata Mohd Hijrah. 
Kebanyakan premis membuka perniagaan seperti biasa.

 Sementara itu, Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun berkata insiden tersebut tidak sepatutnya berlaku dan menggesa pihak polis menyiasat perkara tersebut dengan teliti. 

Beliau berkata pihak pengurusan Plaza Low Yat telah menyerahkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kepada pihak polis. 

"Ia tidak seharusnya berlaku lagi kerana perniagaan di sini akan terjejas. Saya mendapat tahu mengenai perkara ini daripada seorang rakan, saya berada dalam sebuah majlis ketika itu. 

"Polis harus mengambil tindakan yang sewajarnya bagi memastikan kawasan ini kembali tenang kerana ia merupakan tumpuan pelancong. Seorang rakan saya daripada China turut bertanyakan mengenai kejadian ini. 

"Semuanya kini berada dalam keadaan selamat dan saya telah menghubungi pihak polis agar meningkatkan tahap keselamatan. Bagi saya, ini bukan isu perkauman," katanya. 

Fong berkata kebanyakan peniaga membuka perniagaan dan amat berharap keadaan akan kembali seperti biasa.

Kekecohan berlaku apabila seorang remaja lelaki, ditahan atas dakwaan mencuri. Dia kemudiannya dikatakan kembali dengan membawa sekumpulan rakan hingga mencetuskan pergaduhan antara mereka dengan jurujual premis yang menjual telefon pintar tersebut yang terletak di tingkat bawah pusat beli belah berkenaan. 

Kumupulan perusuh turut berkumpul di luar pusat beli belah berkenaan pada petang Ahad namun pihak polis berjaya mengawal kenderaan. Bagaimanapun, situasi bertukar tegang selepas tengah malam Ahad apabila kumpulan berkenaan mula merusuh dan cuba masuk ke dalam Plaza Low Yat.

Tags / Kata Kunci: Plaza Low Yat , tenang , peniaga , perusuh

iklan

Video

Isnin, 18 Disember 2017 2:45 PM

Kecoh Naim Daniel 'Berduet' Dengan Hantu

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Kolumnis

iklan

Iklan