Dr Mahathir Bersajak Bimbang Maruah Melayu

Diterbitkan: Isnin, 13 Julai 2015 4:15 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Ketika usianya genap 90 tahun pada 10 Julai lalu, Tun Dr Mahathir Mohamad melahirkan kebimbangannya mengenai masa depan Malaysia.

Menerusi nukilan sajak yang ditulis bekas perdana menteri itu pada hari ulang tahun kelahirannya Jumaat lalu, Dr Mahathir membangkitkan pelbagai persoalan termasuk kedudukan dan maruah bangsa Melayu.

Luah perdana menteri yang paling lama berkhidmat itu lagi, beliau tertanya-tanya sama ada berkesempatan 'memejamkan mata' untuk melihat bangsa Melayu kembali dipandang tinggi dan mulia.

"Wahai bangsaku. Begitu mudahkah kamu lupa. Aku akan pergi tidak lama lagi Dapatkah aku pejam mata dan hembus nafas terakhir. Kerana bangsaku. Negaraku Masih mulia.  Masih bermaruah. Masih dipandang tinggi.

"Atau mataku terbeliak. Nafasku tersesak, terhenti, kerana segala yang diperjuangkan luput ditelan nafsu," katanya menerusi bait-bait sajak yang dimuat naik di blog chedet.cc pada Isnin.

Selain itu Dr Mahathir turut melahirkan kekecewaannya terhadap 'orang politik dan 'orang kaya' yang menurutnya lebih mementingkan nafsu.

"Pemimpin semakin tamak untuk tempat dan kedudukan tinggi. Perbuatan yang haram dihalalkan.

"Nama Allah diperalatkan, dijual untuk nikmat yang sementara di dunia," katanya.


Berikut adalah sajak penuh nukilan Dr Mahathir:


MALAYSIA TANAHAIR-KU

Negara-ku Malaysia, Tanahair-ku, Tanah di mana sembilan puluh tahun dahulu

Darah tumpah dan aku dilahir
Di lahir sebagai anak bangsa yang dijajah
Aku membesar mempertuankan orang asing
Terhina dan dihina
Bangsa yang serba kekurangan
Tinggal dipondok berbumbung atap nipah
Berdinding, berlantai kayu
Namun aku lebih bahagia dari ramai bangsaku
Mereka tinggal di pondok robek, tiris apabila hujan
Tanpa pili air tanpa lampu letrik
Anak mereka berkaki ayam, berkudis
Demam panas dan kadang-kadang meninggal
Aku survive, aku ke sekolah, aku ke universiti
Nasib aku lebih baik
Allah Subhanahu Wataala kesian kepada aku
Setelah dijajah oleh satu bangsa, dijajah pula oleh dua bangsa lagi

Aku bertanya akan bangsaku selalunya dijajah orangkah?
Alhamdullilah, berkat kesedaran, berkat perjuangan, berkat perpaduan

Bangsaku dibebas, merdeka
Apakah merdeka hanya bermakna tidak dijajah orang
Apakah merdeka bermakna terus merana
Tidak, tidak, tidak
Merdeka bermakna kemajuan
Kemajuan sehingga berdiri sama tinggi
Duduk sama rendah dengan bekas penjajah dan bangsa lain
Bahkan mungkin lebih tinggi
Politik yang menyelamat dahulu
Terus membela bangsa
Negara dibangun, bangsa dibangun, agama di muliakan
Kemudian…
Malang dan sedih,
Bangsa yang berjiwa kental, bersemangat besi
Diserang oleh nafsu dan perasaan tamak
Aku dapat apa dari kemerdekaan tanya mereka?
Mana bahagian aku?
Dan semangat pun menjadi luntur, tidak terdaya mengawal nafsu

Apa makna senang jika untuk mendapat sesuatu begitu susah
Dan nafsu dan perasaan tamak pun di peralat dan disogok oleh orang-orang politik dan orang kaya

Bangsa yang merdeka
Bangsa yang mulia
Sekarang sanggup menjual hak yang sedikit
Hak memilih, hak mengundi
Untuk mendapat kesenangan tanpa usaha, kesenangan yang sedikit

Maruah dijual
Bangsa dijual
Tanahair dijual
Segalanya dijual
Untuk nikmat yang tidak kekal, nikmat yang sementara yang sedikit sahaja

Politik yang menyelamat
Menjadi politik yang menghancur
Pemimpin semakin tamak
Untuk tempat dan kedudukan tinggi
Perbuatan yang haram dihalalkan
Nama Allah diperalatkan, dijual untuk nikmat yang sementara di dunia

Akan kembalikah bangsaku
Menjadi bangsa yang dijajah, dihina dan diperhambakan
Wahai bangsaku
Begitu mudahkah kamu lupa
Aku akan pergi tidak lama lagi
Dapatkah aku pejam mata dan hembus nafas terakhir
Kerana bangsaku
Negaraku
Masih mulia
Masih bermaruah
Masih dipandang tinggi
Atau mataku terbeliak
Nafasku tersesak, terhenti, kerana segala yang diperjuangkan luput ditelan nafsu

Ya Allah lindungilah bangsaku
Sedarkanlah mereka
Sedarkan mereka bahawa Engkau tidak akan mengubah nasib bangsa

Melainkan bangsa itu sendiri cuba mengubahnya
Mengubah sendiri, membendung nafsu
Kerana Allah
Kerana agama
Kerana bangsa
Kerana negara
Biarlah aku pergi
Mata terpejam rapat
Nafas perlahan berhenti...
Tags / Kata Kunci: Dr Mahathir Mohamad

iklan

Video

Jumaat, 24 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Harry - Abang Lori Tenonenonet

Khamis, 23 November 2017 11:18 PM

Fazura Sah Tunangan Fattah Amin

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan