Ayam Pansuh Juadah Kegemaran Warga Kota

Diterbitkan: Isnin, 13 Julai 2015 6:30 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Sekali melewati gerai milik dua anak muda di bazar Ramadan berhadapan pusat membeli-belah Wangsa Walk di sini, ramai pengunjung menyangka mereka menjual lemang, sebaliknya ia adalah ayam pansuh, makanan eksotik tradisional masyarakat dayak di Sarawak. 

Anak kelahiran Kuala Lumpur, Amir Kamaruzzaman, 30, dan Ammar Ismaahadi, 28, mendapat idea untuk menjalankan perniagaan yang dinamakan 'Ayam Pansuh KL' memandangkan ia tidak banyak dijual di Semenanjung.

Amir yang bekerja di syarikat minyak dan gas swasta mendapat resepi asal hidangan itu daripada sahabatnya ketika beliau tinggal di Sarawak lebih lima tahun.

Menceritakan mengenai penyediaan makanan tradisional itu, Amir berkata seawal 10 pagi setiap hari, mereka akan memerap 20 kilogram ayam yang dipotong dadu bersama ramuan selama dua jam sebelum diisi ke dalam buluh untuk dibakar.

"Resepi saya ada penambahbaikan sedikit jika dibanding dengan resepi asal, ayam pansuh asal hanya dimakan bersama nasi namun ayam pansuh yang saya jual  ini dimakan bersama nasi dan pecel. Itu sebab saya namakan Ayam Pansuh KL

"Saya jual sebatang RM12. Pakej kita ada nasi dan pecel. Tapi kalau pelanggan beli tiga batang, saya jual RM30," katanya kepada Bernama.

Anak kedua daripada enam beradik itu berkata jualan ayam pansuh meningkat dari sehari ke sehari bermula 20 batang pada hari pertama hinggalah 60 batang pada pertengahan Ramadan kerana perniagaan makanan tradisional itu semakin mendapat tempat di hati warga kota dan perantau dari Sabah dan Sarawak.

"Pada awal Ramadan, ramai pelanggan bertanya adakah kami menjual lemang. Agak penat juga jelaskan kepada mereka, namun berbaloi sebab kini kami sudah ada pelanggan tetap.

"Ada yang tempah melalui telefon dan aplikasi Whatsapp untuk juadah berbuka di kampung bersama keluarga. Itulah hasilnya, Alhamdulillah," kata.

Sementara itu, Ammar berkata beliau pada mulanya hanya mendapatkan tapak bazar walaupun tiada idea perniagaan apa yang bakal dijalankan, namun selepas  berbincang bersama Amir, mereka sepakat untuk menjual makanan tradisional Sarawak itu. 

"Hari pertama kami hanya jual 20 batang sahaja dan kami jual RM14 sebatang. Itupun lambat masak ambil masa sejam dan pelanggan merungut ayam sedikit dan kurang masak," katanya.

"Mengambil iktibar daripada maklum balas pelanggan itu, kami mencari bahan seperti ayam dan buluh dari pembekal yang menawarkan harga lebih rendah. 

"Kami juga bakar ayam pansuh itu separuh masak di rumah sebelum dibawa ke bazar," katanya.

Ammar berkata walaupun hanya berdua namun mereka masih mampu memenuhi permintaan pelanggan, malah dua sahabat itu merancang untuk meneruskan perniagaan ayam pansuh sepanjang masa melalui promosi di laman sosial. 

"Pelanggan boleh ikuti Facebook dan Instagram Amir iaitu Amir Kamaruzzaman untuk sebarang tempahan atau boleh menghubungi di talian 012-9772240," katanya.

Ammar berkata sama seperti lemang, juadah tradisional istimewa itu dimasak dalam buluh dan dibakar dengan kayu api atau lebih baik di atas bara api sehingga buih kelihatan terkeluar daripada isi ayam dari dalam buluh.

Berkongsi resepi Ayam Pansuh KL, Ammar berkata ayam yang digunakan mestilah segar dan perlu diperap bersama ramuan yang dikisar antaranya cili padi, bunga kantan, halia, serai, lengkuas dan daun kunyit.

Beliau berkata selepas ayam dibersihkan dan dipotong dadu, ia kemudian diperap dengan ramuan yang dikisar manakala daun ubi pula diramas bersama garam untuk mengeluarkan getahnya dan mengurangkan pahit, kemudian semua bahan dimasukkan ke dalam buluh manakala pucuk ubi digunakan untuk menutup mulut buluh sebelum dibakar.

Tags / Kata Kunci: ayam pansuh , bazar ramadan

iklan

Video

Isnin, 21 Ogos 2017 12:59 PM

Hafiz Tak Mengaku Saya Isteri - Joy Revfa

Isnin, 21 Ogos 2017 9:00 AM

#BiziBody: Syafiq Kyle Pentingkan Penampilan

Jumaat, 18 Ogos 2017 12:33 PM

Temui Cincin Pada Lobak Selepas 13 Tahun Hilang

Jumaat, 18 Ogos 2017 12:00 PM

Jantina Belum Tahu Lagi! - Ezzaty Abdullah

Jumaat, 18 Ogos 2017 8:00 AM

#akuStar: Slash - Melodi Kasih

Khamis, 17 Ogos 2017 3:02 PM

Seksi? Urusan Saya Dengan Tuhan - Zizi Kirana

Khamis, 17 Ogos 2017 12:30 PM

Erma Reda, Jatuh Talak Satu

Khamis, 17 Ogos 2017 9:00 AM

Wak Doyok Kini Bintang Filem

Rabu, 16 Ogos 2017 3:59 PM

Bahaya Tu Abang Oii...

Kolumnis

iklan

Iklan