Pekerja MAS Baharu Perlu Lakukan Transformasi Minda

Diterbitkan: Ahad, 12 Julai 2015 12:49 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Hampir 14,000 petugas yang menerima tawaran bekerja dengan Malaysia Airlines (MAS) baharu di bawah pelan penstrukturan semulanya, sekarang memerlukan satu minda bekerja baharu dan tidak boleh berada di takuk lama, kata seorang ahli akademik geostrategis.

Prof Madya Dr Azmi Hassan dari Sekolah Perdana Sains, Teknologi dan Inovasi Universiti Teknologi Malaysia, berkata mereka perlu menerima hakikat bahawa ini perlu dilakukan kerana dalam suasana kerja baharu, budaya kerja berasaskan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) akan ditetapkan ke atas setiap pekerja bagi mencapai KPI setiap bahagian dalam syarikat.

Christoph Mueller, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines System yang bakal menyandang jawatan sama dalam MAS Baharu, Malaysia Airlines Berhad (MAB), mahu mewujudkan lebih daripada 10 subsidiari perniagaan dengan ukuran prestasinya berdasarkan penyata untung dan rugi masing-masing.

KPI akan ditetapkan ke atas setiap subsidiari untuk mengawal kos dan pencapaian, menghasilkan keuntungan serta tidak membebankan MAB.

"Transformasi ini dikatakan daripada satu ekstrem kepada satu ekstrem yang lain, bukan mudah dilakukan.

"Kita simpati dengan pekerja-pekerja MAS itu, tetapi dalam hal simpati ini, kepentingan negara perlu diutamakan kerana Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) telah menyuntik dana berbilion ringgit dan itu adalah wang rakyat.

"Jadi mereka perlu melakukan pengorbanan dalam hal ini," katanya.

Menjawab soalan mengenai pengambilan semula pekerja MAS, Dr Azmi bersetuju bahawa mereka yang ditawarkan semula bekerja sangatlah bernasib baik kerana syarikat MAS Baharu yang bakal beroperasi 1 September ini mengutamakan dahulu pekerja lama dan tidak menawarkannya kepada pihak luar.

"Memang benar bahawa apabila mengambil orang lama, pengalaman kerja masih tetap ada. Sehingga hari ini, Mueller mengatakan 98 peratus telah menerima tawaran kerja entiti MAS yang baharu.

"Jadi, ini menunjukkan bahawa tawaran yang dikemukakan, sama ada sama rata dengan tawaran yang mereka dapat sebelum ini. Jadi saya tidak anggap ini satu penganiayaan kepada pekerja baharu yang diambil," katanya.

Yang penting ialah pengalaman mereka itu dan mereka membawa pengalaman masing-masing ke syarikat baharu, dan menurut Dr Azmi dengan berubah kepada cara kerja, minda dan persepsi mereka dengan cara syarikat baharu, MAB, berupaya mencapai keuntungan pada 2018 seperti yang dijanjikan Mueller.

Ditanya pandangannya mengapa MAS mengalami kerugian demi kerugian dalam operasinya walaupun puluhan bilion ringgit telah disuntik dalam beberapa pelan penstrukturan semula, Dr Azmi berkata kekangan utama MAS lama disebabkan pihak pengurusan dan para pekerja menganggap mereka sebagai salah satu cabang kerajaan dan bukan entiti komersial.

"Kalau ada masalah, mereka beranggapan kerajaan akan membantu. Jadi sekarang harapannya entiti baharu ini perlu bergerak atas dasar perniagaan yang memerlukan daya saing lebih tinggi, lebih inovasi dan mesti memenuhi KPI yang telah ditetapkan," katanya.

"Saya pasti 14,000 yang diterima kembali bekerja itu akan dapat isyarat bahawa mereka hampir-hampir dibuang. Namun bernasib baik diambil kembali bekerja di syarikat baharu.

"Jadi ini dikatakan sebagai satu iktibar untuk mereka berubah, tidak boleh lagi bekerja cara lama dan mesti mengikut cara bekerja berdasarkan entiti komersial itu sendiri."

Dr Azmi juga mengalu-alukan pelantikan Mueller untuk mengemudikan MAB ke arah mengembalikan zaman kegemilangan syarikat penerbangan nasional itu berdasarkan kepakarannya menaikkan semula dua buah syarikat penerbangan yang hampir lupus.

"Saya yakin bahawa pekerja baharu dengan syarikat baharu dan pengalaman yang lama, dengan kaedah kerja lama dapat disinergikan antara kesemua mereka yang berada dalam MAS ketika ini," katanya.

Dr Azmi juga menegaskan pentingnya MAS yang baharu bebas daripada campur tangan politik, dan kepercayaan diletakkan 100 peratus ke atas Mueller, dalam erti kata beliau diberi kebebasan untuk melakukan apa yang beliau perlu lakukan untuk memulihkan MAS yang Muelller sendiri sifatkan secara teknikalnya telah muflis.

Katanya tempoh dua tahun merupakan tempoh kritikal buat MAS kerana syarikat masih mencatatkan kerugian.

"Dalam tempoh dua tahun itu, tidak boleh ada campur tangan, tidak boleh ada faktor yang boleh mengganggu-gugat MAS itu sendiri."

Tags / Kata Kunci: MAS , Transformasi

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan