Hanya Pencalonan Cawangan Diadakan CWC Interim MIC 2009 Sah - Subra

Diterbitkan: Sabtu, 11 Julai 2015 2:57 PM

S. Subramaniam.

(Ubah saiz teks)

MELAKA: Hanya pencalonan peringkat cawangan yang diadakan oleh Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) Interim MIC 2009 adalah sah, kata Pemangku Presiden MIC Datuk Seri S. Subramaniam.

Sehubungan itu, beliau berkata pencalonan peringkat cawangan yang diadakan pihak lain adalah tidak sah dan tidak akan menjadi cawangan yang diiktiraf setelah selesai proses pemilihan semula parti itu.

"Pencalonan diadakan jawatankuasa (CWC Interim MIC 2009) adalah sah kerana jawatankuasa ini diiktiraf ROS (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan). Pencalonan (pihak lain) tidak diiktiraf itu mereka buat secara sendiri.

"Kita buat (pencalonan) jadi cawangan yang sah, lepas habis kita hantar kepada ROS dan ini akan jadi cawangan yang sah untuk sertai dalam pemilihan peringkat lain," katanya dalam sidang akhbar selepas menyerahkan pencalonan untuk bertanding sebagai Pengerusi Cawangan MIC Ujong Pasir di sini Sabtu.

Pencalonan bagi peringkat cawangan bagi pemilihan semula MIC itu ialah pada 10, 11 dan 12 Julai diikuti oleh pemilihan cawangan dari 20 hingga 26 Julai depan, manakala pemilihan presiden dijangka selesai menjelang akhir bulan depan.

Pada Khamis lepas, Ketua Penerangan MIC L. Subramaniam daripada pihak bekas presiden MIC Datuk Seri G.Palanivel mendakwa sejumah 2,238 cawangan MIC telah memfailkan pencalonan untuk pemilihan cawangan parti itu dianjurkan pihak tersebut.

Ditanya tentang status pencalonan anggota MIC yang membuat pencalonan di kedua-dua belah pihak, Subramaniam berkata pihaknya akan menerima pencalonan yang dikemukakan oleh anggota tersebut.

"Contohnya ada seorang ahli exco Melaka, saya diberitahu ada buat pencalonan kepada pihak sana semalam (Jumaat) dan hari ini (Sabtu) dia ada hantar pencalonan di sini, jadi kita akan terima pencalonan dia di sini," katanya.

Beliau berkata pencalonan peringkat cawangan diadakan di 25 zon seluruh negara dan sebanyak 3,195 daripada 3,900 cawangan cawangan MIC layak mengadakan pemilihan semula itu.

Katanya cawangan yang tidak layak mengadakan pemilihan semula itu mempunyai pelbagai masalah antaranya melibatkan pematuhan perlembagaan parti MIC dan urusan dengan ROS.

"Kita telah merujuk perkara ini (cawangan tidak layak adakan pemilihan) kepada ROS selepas dapat keputusan daripada ROS, mereka (cawangan) yang diterima ROS kita akan beri mereka peluang (adakan pemilihan) pada masa akan datang," katanya.

Menurut Subramaniam proses pencalonan yang diadakan semalam di Kedah, Terengganu dan Kelantan berjalan lancar, manakala pemilihan pada Sabtu di Melaka, Perak dan beberapa kawasan di Johor juga berjalan lancar setakat ini.

Tags / Kata Kunci: MIC , CWC 2009 , pemilihan semula , Dr S Subramaniam

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan