Aset 1MDB Bernilai RM13 Bilion Tidak Boleh Dijual Dengan Mudah

Diterbitkan: Sabtu, 11 Julai 2015 9:22 AM

Gambar hiasan.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pasukan penyiasat meneliti buku 1Malaysia Development Bhd (1MDB) merasakan hampir RM13 bilion asetnya yang diklasfikasikan sebagai sedia untuk dijual, tidak mudah dicairkan.

Pada 31 Mac 2014, 1MDB mempunyai aset berjumlah RM51.41 bilion di mana hampir RM19.5 bilion merupakan aset semasa yang membabitkan wang tunai dan aset yang ada untuk dijual.

Aset semasa, kira-kira RM3.85 bilion adalah dalam bentuk tunai.

Namun kira-kira RM1 bilion daripada wang tunai tersebut tidak boleh digunakan kerana sekatan.

"Malah, aset yang dimiliki untuk dijual tidak boleh dicairkan dengan mudah," kata seorang penyiasat.

Pasukan penyiasat juga berkata kedudukan kewangan 1MDB adalah tidak mapan dan menghadapi masalah kecairan.

Syarikat pelaburan strategik milik kerajaan itu mempunyai beban hutang sebanyak RM41.8 bilion dan Menteri Kewangan II, Datuk Ahmad Husni Hanadzlah sebelum ini berkata, ia menghadapi masalah aliran tunai.

Pasukan penyiasat berkata juruaudit luar yang meneliti buku 1MDB tidak mengesahkan nilai aset yang dimiliki 1MDB PetroSaudi Ltd sebelum mengeluarkan laporan tersebut.

Juruaudit luar juga tidak mendedahkan maklumat penting ke atas pinjaman 1MDB untuk membiayai pelaburannya.

Keuntungan daripada pelaburan tersebut tidak disahkan.

1MDB PetroSaudi Ltd adalah usaha sama 40:60 antara 1MDB dan PetroSaudi International Ltd yang berpangkalan di London yang didedahkan enam bulan lalu selepas ditubuhkan pada akhir September 2009.

Selepas pendedahan usaha sama itu, kira-kira 40 peratus ekuiti 1MDB dalam syarikat tersebut ditukar kepada hutang.

Pasukan penyiasat juga mendedahkan antara 2009 dan 2014, 1MDB terpaksa menggantikan dua juruaudit luar kerana perbezaan pendapat dengan pihak pengurusan terhadap penilaian aset.
Tags / Kata Kunci: 1MDB , aset

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan