Istimewanya Bangkit Siti Raya

Diterbitkan: Jumaat, 10 Julai 2015 3:00 PM

Pengusaha kuih Bangkit Siti Raya Bachok bersama ribuan pelbagai jenis bangkit untuk hari raya. Tahun ini sahaja tidak kurang 20,000 balang pelbagai jenis bangkit yang bersaiz kecil dan besar habis dijual kepada pemborong dan jumlah itu sentiasa meningkat saban tahun.

(Ubah saiz teks)

BATU PAHAT: Biskut raya dengan pelbagai bentuk dan nama-nama terkini yang lebih moden, sentiasa membanjiri pasaran setiap kali menjelang Aidilfitri.

Walaupun begitu, "selera" lama bagi biskut tradisi tetap juga dicari seperti biskut samperit, tat nanas, kuih bangkit mahupun biskut suji.

Tidak dimakan waktu, biskut-biskut lama ini lebih melekat nama dan rasanya berbanding puluhan biskut moden yang ada di pasaran hari ini.

PERMINTAAN TINGGI

Permintaan yang tinggi terhadap biskut tradisi menyebabkan Siti Raya Bachok, 53 tidak teragak-agak memperluaskan perniagaan kuih bangkit yang diusahakan sejak 20 tahun yang lepas di rumahnya yang terletak tidak jauh dari pekan Rengit, di sini.

Kuih bangkitnya yang masih mengekalkan rasa tradisi menjadi buruan para pemborong di seluruh negara terutama sebelum tibanya hari raya.

Tahun ini sahaja tidak kurang 20,000 balang pelbagai jenis bangkit yang bersaiz kecil dan besar habis dijual kepada pemborong dan jumlah itu sentiasa meningkat saban tahun.

Beroperasi di bahagian anjung hadapan rumah, beliau baharu sahaja membuka sebuah kedai di hadapannya yang dijadikan ruang pameran untuk enam jenis bangkit yang dihasilkan.

Ini bagi membolehkan orang ramai yang datang ke kedainya melihat sendiri pemprosesan kuih bangkitnya yang dibantu oleh 10 pekerja.

"Saya hanya fokus kepada bangkit sahaja dan setakat ini permintaan terhadap bangkit sentiasa meningkat. Pelanggan setia dari dahulu sentiasa datang setiap tahun untuk mendapatkannya," katanya kepada Bernama ketika ditemui di kedainya.

Ujarnya, beliau tidak bimbang dengan persaingan terutama biskut yang lebih moden kerana pasaran untuk biskut tradisi tetap ada.

Buktinya, beliau sentiasa tidak menang tangan menerima tempahan terutama pada musim perayaan seperti hari raya.

"Pengeluaran bangkit dibuat sepanjang masa tidak hanya memenuhi permintaan hari raya sahaja. Cuma bezanya, permintaan untuk hari raya biasanya meningkat sebanyak empat kali ganda berbanding waktu biasa.

"Sebulan sebelum puasa lagi kami sudah mula membuat bangkit yang ditempah  oleh pelanggan," katanya yang turut dibantu suaminya Md Haleh Ledek.

Apabila siap, semua bangkit itu akan dimasukkan dalam setor penyimpanan sebelum diambil para pemborong.

SEJARAH KEJAYAAN

Dilahirkan dalam keluarga Bugis, beliau yang berasal dari Jambi, Indonesia di sebelah ibunya dibawa pulang ke Rengit oleh bapanya yang berasal di sini pada usia 17 tahun dan berkahwin dengan suaminya setahun kemudian.

Kesusahan hidup membesarkan enam anak menyebabkan Siti Raya berusaha menambah pendapatan dengan membuat kuih raya bagi menampung keperluan keluarga.

"Suami hanya kerja kampung. Waktu itu saya bekerja di kilang jahit. Duit hanya cukup-cukup makan saja... jadi saya terfikir nak buat kuih raya bagi membantu suami.

"Mula-mula meniaga dahulu, saya terpaksa ambil cuti dua bulan dari kilang sebab nak siapkan bangkit yang orang tempah," katanya mengimbas permulaan perniagaan bangkitnya.

Mendapat resepi bangkit santan daripada seorang jiran, beliau mencuba membuatnya beberapa kali sebelum yakin untuk memasarkannya.

Sukatan yang diberikan jirannya ketika itu mengikut jumlah biji kelapa. Ia agak sukar kerana sebiji kelapa tidak mengeluarkan santan dengan jumlah yang sama, katanya.

Beliau kemudian mengubah mengikut sukatan sendiri menggunakan cawan yang nyata lebih mudah selain dapat mengekalkan rasa yang sama.

Permulaan perniagaan, beliau dapat menghasilkan kira-kira 100 balang yang dijual kepada jiran-jiran sekitar Rengit.

Permintaan sentiasa bertambah dari tahun ke tahun sehinggalah datang seorang pelanggan dari Negeri Sembilan 10 tahun yang lepas yang berminat untuk memborong bangkit santan dalam kuantiti yang banyak.

Ujarnya dari situlah bermula pasaran bangkitnya dalam kalangan pemborong atau peniaga.

"Makin lama makin ramai peniaga yang datang nak beli dan nak jual bangkit ni. Jadi saya tidak letakkan harga yang mahal kepada mereka dan hanya mendapat keuntungan daripada "volume" sahaja," katanya.

RAHSIA KEENAKAN BANGKIT

Mendapat sokongan suami, mereka bersama-sama mengusahakannya dengan Md Haleh menguruskan bekalan bahan mentah seperti santan dan tepung ubi manakala Siti Raya di bahagian pengeluaran.

Untuk memastikan kualiti bangkitnya, santan yang digunakan hanya santan kelapa kampung yang diperoleh daripada pembekal tempatan.

Tepung ubi yang digunakan pula perlu digoreng untuk memastikan bangkit yang dihasilkan naik dengan cantik ketika dibakar dan apabila dimakan cair didalam mulut, menurut Siti Raya bangkitnya tahan untuk tempoh masa setahun.

Walaupun menggunakan mesin pengadun tepung namun proses menguli tetap menggunakan tangan.

Selain bangkit santan, beliau turut menghasilkan bangkit kerisik, bangkit gula merah, bangkit pandan, bangkit kacang hijau serta bangkit cheese yang kini mendapat permintaan ramai.

"Sedikit demi sedikit kami cuba menambahkan perasa bangkit supaya lebih banyak pilihan. Kadang-kadang citarasa orang ini berbeza-beza,"katanya.

Sejak mengeluarkan bangkit cheese dua tahun lepas, permintaan bangkitnya terus meningkat dan dianggap produk terlaris keluarannya.

"Ramai yang suka terutama pembeli luar seperti di Kuala Lumpur, Ipoh dan Selangor yang datang cari ke sini," katanya yang berharap produk bangkitnya akan menembusi pasaran lebih luas lagi pada masa akan datang. -- Bernama


Tags / Kata Kunci: bangkit , Siti Raya Bachok

iklan

Video

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Kolumnis

iklan

Iklan